Kawal emosi ketika bekerja dari rumah
NOR SYARIZA MUHD. TAHIR,
WARTAWAN EKSEKUTIF

BEKERJA dari rumah. Kedengaran seronok dan mudah.

Pada fikiran kita, seronoknya bekerja dari rumah ini adalah apabila kita tidak perlu mengharungi kesesakan jalan raya pada waktu puncak, boleh menjimatkan wang petrol dan boleh bekerja sambil memakai apa-apa sahaja pakaian yang kita suka.

Namun, semua itu mungkin hanya indah untuk didengari, namun perit bagi mereka yang telah berumah tangga dan memiliki anak-anak kecil.

Bayangkan, sudahlah perlu melakukan kerja-kerja pejabat yang tiada henti, diwajibkan pula menghadiri mesyuarat selain laporan dan kertas cadangan turut perlu disiapkan.

Dalam masa sama, ada pula anak-anak yang perlu dipantau ketika mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) serta anak-anak yang tidak boleh dihantar ke taska kerana perintah berkurung.

Urusan rumah juga perlu di­selesaikan sebaiknya.

Itulah norma baharu yang perlu dilalui oleh seorang ibu yang bekerja dari rumah dalam tempoh waktu pandemik ini.

Penulis ada terbaca beberapa hantaran di Facebook yang meluahkan rasa tertekan serta letih mereka dalam berdepan dengan gaya hidup baharu ini.

Situasi lebih serius berlaku dalam kalangan golongan ibu yang mempunyai anak bersekolah rendah yang memerlukan bantuan dalam PdPR, di mana mereka terpaksa menjadi ‘cikgu’ dengan membantu anak-anak menjawab latihan, cuba untuk memahami subjek-subjek yang sukar serta ‘memaksa’ anak menghadiri kelas online.

Tidak cukup dengan itu, anak yang lebih kecil turut perlu diberi perhatian.

Sambil membuat kerja pejabat, terkejar-kejar susukan anak, masakkan hidangan tengah hari, menyidai baju dan pelbagai lagi sehingga mencetuskan tekanan emosi.

Bagi seorang ibu yang be­kerja dari rumah, Syarifah Zahirah Syed Zanuddin, 33, cabaran terbesarnya adalah untuk membahagikan masa antara kerja pejabat dengan kelas PdPR anaknya.

“Kadang-kadang waktu mes­yuarat bertindih dengan jadual kelas online anak. Dalam masa sama, kita perlu menjaga emosi diri sendiri dan emosi anak yang terkurung di rumah.

“Bagaimanapun, saya bertuah kerana mempunyai suami yang amat memahami dan turut sama membantu dalam menguruskan anak-anak,” ujarnya.

Sementara itu, Pakar Psikologi daripada Universiti SEGi, Profesor Datin Dr. Mariani Md. Nor berkata, semua tanggungjawab yang dihadapi itu boleh dilaksa­nakan dengan perancangan teliti, sistematik dan pemikiran yang le­bih positif beserta daya ketahanan mental dan fizikal.

“Jika tiada perancangan awal, ia boleh mengakibatkan ibu me­rasa penat, buntu, sering marah, bimbang dan akhirnya membawa kepada tekanan mental.

“Justeru, mereka perlu me­rancang perkara-perkara yang perlu dibuat di bawah peranan berbeza sehari lebih awal supaya lebih sistematik dan lancar,” ujarnya.

Tambah Mariani, apa yang penting adalah tanggungjawab tersebut boleh diagihkan bersama suami atau anak-anak lain bagi meringankan beban.

“Suami dan anak-anak perlu menjadi penyokong dan sumber inspirasi, bukannya sebagai sumber kemarahan dalam rumah tangga,” katanya.

Ini kerana dalam berumah tangga, setiap tugasan dan kerja-kerja rumah hendaklah dilakukan bersama-sama atas rasa tanggungjawab, dan bukannya meletakkan semua beban pada bahu seorang ibu semata-mata.

The post Kawal emosi ketika bekerja dari rumah appeared first on Kosmo Digital.