PPZ-MAIWP terima zakat RM18.5j

PETALING JAYA – Pusat Pu­ngutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menerima bayaran zakat perniagaan berjumlah RM18.5 juta daripada 11 syarikat korporat di Masjid Negara, Kuala Lumpur semalam.

Syarikat terlibat adalah Ama­nah Hartanah Bhd., Etiqa Fa­mily Takaful Bhd., Etiqa General Taka­ful Bhd., Koperasi Ladang Bhd., Koperasi Permodalan Felda Malaysia Bhd., Lembaga Tabung Haji dan Malaysia Debt Ventures Bhd.

Turut membayar zakat perniagaan masing-masing adalah Maybank Islamic Bhd., Perbadanan Harta Intelek Malaysia, Ri Network Sdn. Bhd. dan Sime Darby Property Bhd.

PPZ-MAIWP menerusi ­kenyataan yang dikeluarkan di sini berkata, Majlis Penyerahan Zakat Korporat 2021 itu disempurnakan oleh Pengerusi PPZ-MAIWP, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee serta Pengerusi MAIWP, Datuk Mohd. Daud Bakar.

“Ia bertujuan menggalakkan syarikat korporat untuk membayar zakat perniagaan bagi membantu golongan asnaf di Wilayah Persekutuan, lebih-lebih lagi dalam musim pandemik Co­vid-19 kini.

“Dalam tempoh Januari hingga Mac lalu, PPZ-MAIWP me­ngutip zakat perniagaan sebanyak RM17,127,914.68, peningkatan sebanyak 26 peratus berbanding RM13,640,474.32 yang dikutip pada tahun lalu,” katanya.

Sementara itu, Syed Ali Alhabshee merakamkan jutaan terima kasih kepada kesemua syarikat korporat yang telah membayar zakat di PPZ-MAIWP.

“Bulan Ramadan adalah masa terbaik untuk kita melipat gandakan ibadah. Oleh itu, ambillah kesempatan pada bulan ini untuk berbuat kebaikan dan berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan sebagai tanda kita mensyukuri nikmat yang diberi oleh Allah,” katanya.

The post PPZ-MAIWP terima zakat RM18.5j appeared first on Kosmo Digital.