City pamer kebangkitan sempurna

PARIS: Manchester City mengorak langkah besar dalam mencari tiket final Liga Juara-Juara selepas mengejutkan Paris Saint-Germain (PSG) 2-1 pada separuh akhir pertama hari ini.

Biarpun bermula langkah kiri selepas ketinggalan seawal minit ke-15 menerusi tandukan Marquinhos, namun anak-anak buah Pep Guardiola melakar kebangitan hebat di Parc des Princes.

Ketua pasukan, Kevin De Bruyne mengetuai kebangkitan skuad The Citizens dengan meledak gol penyamaan menerusi sepakan lencong pada minit ke-64.

Riyad Mahrez melangkapkan kemenangan selepas sepakan bebasnya pada minit ke-71 gagal diselamatkan penjaga gol PSG, Keylor Navas.

“Kami beraksi baik pada 10 minit terakhir babak pertama, namun memasuki separuh masa kedua, persembahan kami jauh lebih cemerlang.

“Kami meledak dua gol penting di tempat lawan tetapi tugas kami belum selesai, masih ada 90 minit yang getir perlu dihadapi selepas ini,” kata Guardiola.

Rekod PSG di laman sendiri dalam kempen Liga Juara-Juara musim ini tidak begitu baik apabila turut tewas kepada Manchester United, Barcelona dan Bayern Munich.

Tugas sukar berat kini menanti mereka apabila beraksi dalam separuh akhir kedua di Etihad, Rabu ini. – AGENSI

The post City pamer kebangkitan sempurna appeared first on Utusan Digital.