Usah cipta si penipu

KEJUJURAN merupakan nilai moral yang subjektif dan lazim­nya merujuk kepada sikap ama­nah dan berkata benar.

Ia sukar dilihat dengan mata kasar apatah lagi diukur dengan neraca pertimbangan tertentu dan barangkali menjadi rahsia paling sulit yang tersembunyi di dalam diri seseorang.

Manakala kepercayaan pula ialah nilai yang mendukung kepada perlakuan atau sikap jujur.

Percaya bermaksud me­ngakui, menerima atau meyakini sesuatu. Rasa tersebut sewajar­nya terbit dari hati.

Baru-baru ini isu pemeriksaan haid terhadap pelajar perempuan di sebuah sekolah berasrama menjadi topik perbualan hangat masyarakat terutamanya di platform media sosial.

Ada yang menyifatkan perbuatan itu sebagai jijik, lambang kejahilan dan tidak dapat diterima dek akal.

Secara peribadi penulis melihat isu ini berkait rapat de­ngan nilai kejujuran dan kepercayaan.

Ia mungkin tercetus di­sebabkan segelintir pelajar yang tidak jujur menyebabkan guru mengambil sikap pukul rata terhadap semua pelajar.

Tanpa kepercayaan boleh jadi tiada juga nilai murni yang terhasil daripada rasa tersebut se­perti ikhlas dan berani sebaliknya menimbulkan nilai negatif misalnya amalan berbohong serta sifat pengecut.

Ia jelas terbukti berdasarkan perkongsian seorang pengguna Facebook yang mendedahkan ada pelajar yang sanggup berpura-pura solat dalam keadaan haid kerana tidak selesa diperiksa dan perkara itu berlaku sekitar tahun 1998.

Kisah seumpama itu tidak mustahil akan berulang dan guru yang pada asalnya berniat baik mungkin secara tidak sengaja telah mencipta ‘golongan penipu’ baharu.

Ketua Pegawai Eksekutif, Akademi Al Bayan Global, Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan berkata, biarpun perkara itu dilakukan dengan alasan untuk mendidik pelajar namun matlamat tidak menghalalkan cara.

“Sebagai guru kita memang dituntut mendisiplinkan pelajar tetapi dikhuatiri tindakan itu boleh mewujudkan budaya buruk sangka dalam kalangan masyarakat.

“Pada sudut pandangan hukum syarak pula seseorang tidak dibenarkan untuk memeriksa haid pelajar jika tiada keperluan mendesak,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Dalam hal ini, seni menumbuhkan nilai kejujuran dalam kalangan generasi muda bukan sahaja menjadi cabaran buat pendidik malah ahli keluarga dan anggota masyarakat.

Ibarat menarik rambut di dalam tepung, rambut jangan putus dan tepung pula tidak berselerak.

Sementelah hari ini bidang pendidikan tidak sunyi dari pelbagai isu kontroversi dan mungkin pihak-pihak terlibat boleh memikirkan justifikasi nilai kejujuran dan kepercayaan dan berusaha ke arah tindakan yang lebih baik.

Kaunselor dan Perunding Motivasi, Muhd. Muizzuddin Mukhtar berkata, ini kerana ruang bersuara amat terbuka dengan generasi kini lebih cepat belajar dan memahami sesuatu perkara.

“Mungkin dahulu pelajar kurang bersuara kerana corak pemikiran dan situasi mereka berbeza dan pada masa ini setiap tindakan di luar batasan akan dinilai dan dikongsikan secara bebas.

“Tetapi ketika berdepan isu tular sebegini jangan terlampau mengecam dan mengeluarkan kata-kata yang tidak sepatutnya sehingga ada menghukum keseluruhan guru sedangkan yang bermasalah hanya segelintir sahaja,” ujarnya.

 

 

The post Usah cipta si penipu appeared first on Kosmo Digital.