Ugut pukul ibu guna besi

KLANG – Niat baik seorang ibu ingin meleraikan pertengkaran dua anaknya di dalam rumah mereka dibalas dengan ugutan pukul menggunakan sebatang besi oleh salah seorang daripadanya dalam kejadian di Taman Sri Kerayong, Kapar di sini semalam.

Pertengkaran mulut dikatakan berlaku kira-kira pukul 12.30 tengah hari dipercayai berpunca selepas suspek berusia 41 tahun yang juga penagih dadah naik angin selepas ditanya mengenai keberadaan kotak perkakas rumah mereka oleh abang sulungnya.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisoner Nurulhuda Mohd. Salleh berkata, mangsa berusia 64 tahun telah menyuruh anak sulungnya itu keluar daripada rumah bagi mengelakkan pertengkaran berlarutan.

Katanya, suspek yang memegang sebatang besi kemudiannya naik berang dan menyatakan mahu memukul ibunya.

“Siasatan mendapati suspek kerap mengamuk sekiranya ditegur sehingga ibunya berasa bimbang dengan keselamatan diri dan anak-anaknya lain.

“Polis yang menerima maklumat kemudiannya berjaya menahan suspek di bahagian dapur rumah keluarga tersebut kira-kira pukul 12.45 tengah hari,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kata Nurulhuda, suspek yang mengaku melakukan ugutan untuk memukul ibunya itu turut menyerahkan serbuk putih disyaki heroin seberat 1.1 gram dalam milikannya.

Ujar beliau, ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis heroin dan mempunyai empat rekod jenayah berkaitan dadah.

Kosmo! difahamkan suspek yang merupakan anak kedua daripada empat beradik itu telah menagih dadah selama lima tahun.

“Suspek kini direman selama tiga hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kertas siasatan dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat,” jelasnya. -K!ONLINE

The post Ugut pukul ibu guna besi appeared first on Kosmo Digital.