Rayu kerja kerana mahu beli beras untuk isteri

JAKARTA – Kisah seorang lelaki berjuang mencari nafkah untuk membeli beras bagi memberi makan isterinya yang sakit tenat tular di media sosial, lapor portal berita Merdeka.com semalam.

Menurut hantaran dalam akaun TikTok @cahary20, lelaki yang hanya dikenali sebagai Rudi itu datang ke sebuah klinik untuk meminta apa sahaja jenis pekerjaan kerana mahukan wang untuk membeli beras.

“Lelaki ini datang ke klinik tempat saya bekerja dan bertanya kerja kosong.

“Saya beritahunya tiada dan dia kemudian beritahu bahawa isterinya sedang sakit dan anaknya pula jauh dan dia hanya mahu membeli beras,” demikian keterangan yang dimuat naik pada video TikTok itu.

Pemilik akaun TikTok itu mem­berikan Rudi wang, ­namun ditolak kerana dia tidak mahu menerima wang tanpa bekerja.

Rudi kemudian membersihkan halaman klinik itu sebelum bersetuju menerima wang yang diberikan.

Lelaki separuh abad itu masih meneruskan kerjanya ­biarpun ketika hujan.

Tambah pemilik akaun, isteri Rudi menghidap leukimia.

Selepas video tersebut viral, @cahary20 memuat naik satu lagi video dirinya mengunjungi Rudi di rumahnya bersama wang derma yang dikirimkan oleh orang ramai.

Keadaan rumahnya yang sempit dan beralaskan kain nipis mengundang sebak di hati netizen.

Di akhir video, @cahary20 mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah menderma kepada Rudi. – Agensi

The post Rayu kerja kerana mahu beli beras untuk isteri appeared first on Kosmo Digital.