Polis Britain serbu makmal dadah bernilai RM56 juta

LONDON – Sebuah makmal metrik skala industri yang dianggap menghasilkan dadah amfetamin bernilai £10 juta (RM56 juta) setiap bulan telah ditemui semasa serbuan polis di sebuah ladang di Worcestershire, lapor akhbar Metro News UK kelmarin.

Empat lelaki dan seorang wanita, berusia antara 28 dan 60 tahun, ditangkap ketika serbuan di bangunan ladang di Ullenhall Lane, dekat Redditch, baru-baru ini.

Serbuan tersebut turut disertai oleh beberapa anggota bomba dan ahli kimia kerana bangunan yang terdapat di ladang itu terlalu berisiko untuk diterjah dengan terburu-buru.

Penemuan adalah sebahagian daripada operasi berskala besar terhadap rangkaian telefon bimbit enkripsi canggih, EncroChat, yang digunakan oleh penjenayah berorganisasi yang mempunyai rangkaian luas di seluruh dunia.

Menurut Badan Jenayah Nasional (NCA), yang memimpin operasi bersama Polis Warwickshire, kumpulan jenayah itu menghasilkan sekitar satu tan amfetamin sebulan.

Nilai jualan dadah itu dianggarkan bermula daripada £2 juta (RM11 juta) jika dibeli secara borong dan boleh mencecah RM56 juta jika dijual secara paket.

“Makmal ubat terlarang ini menghasilkan amfetamin dalam jumlah yang sangat banyak untuk diedarkan kepada kumpulan jenayah di seluruh Britain dan ke dalam komuniti kami yang membawa keganasan, ketakutan, dan eksploitasi.

“Operasi ini dirancang dengan penuh teliti pihak polis dengan kerjasama beberapa anggota berkuasa lain bagi memastikan kelancaran operasinya,” kata Komander Cawangan NCA, Peter Stevens.

Beliau juga yakin bahawa kejayaan menumpaskan makmal dadah tersebut akan memberi impak besar kepada kumpulan jenayah terancang yang terlibat apabila komoditi dan keuntungan mereka dirampas.

Dalam pada itu, Penolong Ketua Konstabel Polis Warwickshire, Alex Franklin Smith memaklumkan serbuan tersebut berlaku di sebuah ladang di luar bandar dan sedikit sebanyak menimbulkan kebimbangan penduduk sekitar. 

“Pegawai kami akan bekerjasama dengan penduduk tempatan dalam untuk memberi jaminan bahawa keselamatan mereka adalah keutamaan kami,” jelasnya. – Agensi

The post Polis Britain serbu makmal dadah bernilai RM56 juta appeared first on Kosmo Digital.