‘Perlu ada budi bicara, perikemanusiaan dalam penguatkuasaan’ – PM

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa agensi-agensi penguat kuasa yang menjalankan pemantauan dan kawalan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) supaya menggunakan pendekatan lebih berhikmah dalam pelaksanaan tugas itu.

Menurut beliau, ketegasan untuk memastikan peraturan dipatuhi adalah penting, namun segala tindakan perlu ada budi bicara dan perikemanusiaan dalam ruang lingkup undang-undang supaya usaha mendidik masyarakat atau komuniti akan lebih diterima.

Jelasnya, hal itu sangat penting terutamanya dalam situasi pandemik yang memberi kesan sangat besar kepada kehidupan rakyat.

“Saya faham dan menginsafi kesusahan rakyat mencari punca pendapatan untuk menjamin kelangsungan hidup dalam situasi pandemik ini. Ada yang berikhtiar menjalankan perniagaan kecil-kecilan untuk menampung perbelanjaan seperti menjual burger, makanan ringan, minuman atau hasil tanaman masing-masing.

“Mereka ini bukanlah pemilik syarikat atau pertubuhan perniagaan yang besar tetapi hanya pemegang lesen untuk berniaga sendiri secara kecil-kecilan,” katanya ketika berucap melancarkan Pertandingan Komuniti Zon Hijau Covid-19 di bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Muhyiddin pada masa sama berharap kerjasama dan persefahaman baik antara masyarakat dan penguat kuasa mampu memperkasakan komuniti untuk bersama-sama memastikan kejayaan membendung penularan jangkitan wabak itu.

Sekiranya sikap saling mengingatkan itu diamalkan, beliau yakin kebiasaan baharu dalam kehidupan dapat dibudayakan.

Pada masa sama kata beliau, para pemimpin masyarakat juga mesti faham dan peka terhadap semua SOP ditetapkan, bergantung kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang berkuat kuasa di kawasan masing-masing.

“Ambil tahu program atau majlis-majlis yang akan diadakan penduduk di kampung atau kawasan taman perumahan anda dan pastikan penganjuran program atau majlis betul-betul mematuhi SOP yang ditetapkan,” katanya.

Dalam pada itu Perdana Menteri berkata, Pertandingan Komuniti Zon Hijau Covid-19 yang dianjurkan melalui Jawatankuasa Pemerkasaan Komuniti Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dipengerusikan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali, bertujuan menggalakkan komuniti membudayakan kebiasaan baharu.

Menurutnya, program yang melibatkan komuniti bandar dan luar bandar di seluruh negara itu mampu memperkuatkan peranan komuniti bersama-sama kerajaan dalam memerangi pandemik seterusnya memastikan warga komuniti bebas daripada jangkitan Covid-19.

Beliau memberitahu, kerajaan Persekutuan memperuntukkan sejumlah RM1.7 juta bagi hadiah pertandingan itu, iaitu sebanyak RM50,000 dalam bentuk nilai projek pembangunan kepada pemenang Komuniti Zon Hijau Covid-19 bertemakan ‘Komuniti Perkasa, Negara Sejahtera’.

Pertandingan itu akan diurus setia oleh Nadma dan dilaksanakan dalam dua kategori, iaitu kategori komuniti bandar diterajui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan komuniti luar bandar diterajui Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

“Kategori pertandingan komuniti bandar khusus kepada perumahan strata jenis flat dan pangsapuri manakala kategori komuniti luar bandar terdiri daripada kampung tradisional, rumah panjang dan kampung Orang Asli.

“Antara projek pembangunan yang ditetapkan ialah naik taraf ruang rekreasi komuniti, baik pulih surau komuniti, membina perpustakaan komuniti dan lain-lain projek komuniti yang bersesuaian. Sebanyak 20 pemenang bagi kategori luar bandar manakala 14 pemenang bagi kategori bandar akan dipilih di seluruh negara,” katanya.

Sehubungan itu, Perdana Menteri menyeru agar semua anggota masyarakat dapat menyahut cabaran dengan menyertai pertandingan berkenaan.

Katanya, segala jerih perih, komitmen dan usaha pimpinan dan ahli komuniti di kawasan masing-masing untuk membanteras ancaman Covid-19 akan dapat diterjemah dan dihargai melalui pertandingan itu.

“Saya berharap agar kita terus berusaha dan berdoa agar ancaman wabak segera berakhir dan semoga kita dapat kembali memacu pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

The post ‘Perlu ada budi bicara, perikemanusiaan dalam penguatkuasaan’ – PM appeared first on Utusan Digital.