Peniaga di Selangor patuh SHMMP 2021

PETALING JAYA – Pemantauan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP) 2021 di Selangor mendapati rata-rata peniaga mematuhi arahan yang ditetapkan.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, sehingga semalam sebanyak 1,271 pemeriksaan telah dilaksanakan di seluruh Selangor sejak SHMMP dilaksanakan bermula 21 April.

“Daripada jumlah pemeriksaan itu, kita ada menerima tiga aduan iaitu dua di Shah Alam dan satu di Petaling Jaya berkaitan harga melebihi had yang ditetapkan.

“Bagaimanapun, kesemua aduan itu sedang dalam siasatan dan sekiranya terbukti peniaga mengingkari peraturan ditetapkan, mereka akan dikenakan tindakan tegas,” katanya kepada pemberita selepas pemeriksaan SHMMP di Pasar Besar Jalan Othman, di sini hari ini.

Muhamad Zikril Azan berkata, KPDNHEP telah mengenal pasti sebanyak 12 jenis barangan bagi pelaksanaan ini namun di Selangor, sebanyak 10 jenis barangan dikenal pasti bagi pelaksanaan skim itu terdiri daripada ayam, telur ayam, daging dan hasil laut.

“Setakat ini juga, KPDNHEP Selangor mendapati bekalan adalah mencukupi dan kita juga telah gerakkan seluruh anggota-anggota penguatkuasa bagi menjalankan pemeriksaan di seluruh premis ditetapkan serta pegawai pemantau harga yang akan menyemak dan melaporkan harga setiap hari.

“Kami harap daripada SHMMP ini, semua pihak di setiap peringkat iaitu pengeluar, pemborong dan peruncit mematuhi harga ditetapkan kerana kementerian dah mengambil kira keuntungan daripada skim tersebut,” jelasnya.

Katanya, pihaknya juga berharap pengguna dapat melaporkan sekiranya ada peniaga yang tidak mematuhi arahan seperti tidak meletak tanda harga atau tidak mempamerkan tanda harga merah jambu untuk harga SHMMP atau kesalahan-kesalahan lain.

“Jadi kita harapkan supaya semua pihak memainkan peranan masing-masing supaya kita dapat membendung salah guna atau salah luka etika yang dipamerkan peniaga,” ujarnya. – K! ONLINE

The post Peniaga di Selangor patuh SHMMP 2021 appeared first on Kosmo Digital.