Pemandu lori didenda RM3,000 pindah kambing tanpa kebenaran

KUBANG PASU: Seorang pemandu lori didenda sebanyak RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Jitra di sini, hari ini setelah mengaku bersalah kerana memindahkan kambing hidup tanpa kebenaran daripada Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kedah atau mana-mana pihak berkuasa veterinar, bulan lalu.

Majistret, Mohd. Hadi Hakimi turut memerintahkan tertuduh, M. Muthu Kumaresan, 26 dipenjara selama sebulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memindahkan 72 kambing hidup menggunakan lori di bahu jalan berdekatan simpang Kampung Langsat 2, Lebuh Raya Changloon ke Kuala Perlis yang termasuk dalam Pewartaan Perintah Kawasan Kawalan Pembasmian Penyakit Kuku dan Mulut Negeri Kedah 2006.

Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira pukul 4.30 petang, 7 Mac lalu.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Veterinar Negeri Kedah, Tuan Anuar Sulzi Tuan Abdullah manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pemandu lori itu didakwa mengikut Perintah (a) Kawasan Kawalan Pembasmian Penyakit Kuku dan Mulut negeri Kedah 2006 (Warta KPU1) Subseksyen 36 (1) Akta Binatang 1953.

Terdahulu Tuan Anuar memohon supaya tertuduh dijatuhi hukuman berat dan setimpal agar kes tersebut menjadi pengajaran tidak hanya kepada tertuduh, malah kepada masyarakat untuk terus mematuhi undang-undang ditetapkan.

“Pihak jabatan memandang serius dan berusaha keras memastikan wabak penyakit tidak menular serta merebak dengan banyak wang telah dihabiskan bagi tujuan itu.

“Jika penyakit merebak dan tidak dapat dikawal, itu akan mendatangkan risiko kepada haiwan lain, manusia dan kesejahteraan awam. Penularan penyakit zoonotik ini juga boleh menyebabkan risiko kelumpuhan ekonomi negara yang bergantung kepada penternakan untuk pasaran eksport,” katanya.

Difahamkan tertuduh kemudiannya membayar denda tersebut. – UTUSAN ONLINE

The post Pemandu lori didenda RM3,000 pindah kambing tanpa kebenaran appeared first on Utusan Digital.