Hospital silap daftar nama bayi sebagai Korn

LOS ANGELES: Seorang wanita terkejut selepas mendapati nama bayi perempuannya yang baharu dilahirkan tersilap didaftarkan dalam sijil kelahiran anaknya.  

Lapor Daily Mail, Kelsey Tate dari Seattle, Washington berkata, bayi yang dilahirkan pada 10 April lalu sepatutnya dinamakan sebagai Kora dan bukannya Korn.

Korn merupakan nama kumpulan heavy metal yang popular di Amerika Syarikat (AS).

Katanya, kesilapan itu dilakukan akibat kecuaian pihak hospital.

Tate berkongsi berita kesilapan itu dalam media sosial sehingga menjadi tular dan menerima pelbagai reaksi daripada warganet. 

Wanita itu turut memuat naik sebuah borang pendaftaran yang memaparkan kesilapan nama pada bayi perempuannya.

“Pihak pengurusan hospital melakukan kesilapan dengan mendaftarkan nama bayi perempuan saya sebagai Korn dalam sijil kelahirannya.

“Bayi saya sepatutnya dinamakan sebagai Kora dan bukannya Korn,” katanya.

Jelas Tate, selepas melahirkan anaknya, kemungkinan besar pihak hospital pernah memeriksa dengannya sebelum mendaftarkan nama bayinya.

Namun, Tate mendakwa ketika itu dia berada dalam keadaan yang tidak stabil kerana kehilangan darah yang banyak.

Menurut Tate, dia sedar nama bayinya ditulis betul di papan putih hospital namun terdapat kesilapan nama keluarganya pada borang pertama pendaftaran.     

“Saya percaya kesilapan itu mungkin berlaku apabila mereka mengisi borang kedua,” katanya.

The post Hospital silap daftar nama bayi sebagai Korn appeared first on Utusan Digital.