Hakim terkhilaf anggap Najib pengarah bayangan SRC International

PUTRAJAYA: Pasukan pembelaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menghujahkan bahawa Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah terkhilaf apabila menganggap tafsiran ‘pengarah bayangan’ (shadow director) adalah sama dengan ‘pengarah’.

Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menyatakan Hakim Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali terkhilaf apabila menafsirkan terma tersebut melangkaui peruntukan yang ditetapkan dalam Seksyen 402A Kanun Keseksaan.

Seksyen 402A mentakrifkan “pengarah termasuk mana-mana orang yang menduduki tempat pengarah sesebuah syarikat walau apa pun namanya dipanggil, dan termasuklah seseorang yang bertindak atau mengeluarkan pentunjuk-petunjuk atau perintah-perintah dengan cara dalam mana pengarah-pengarah sesebuah syarikat biasa mengeluarkan atau bertindak dan termasuk seorang pengarah silih ganti atau pengganti, sekalipun ada apa-apa kecacatan dalam perlantikan atau kelayakan orang tersebut.”

Menurut Muhammad Shafee, hakim bicara pada mulanya berada di landasan yang benar apabila mengenalpasti perbezaan definisi ‘pengarah’ di antara Kanun Keseksaan berbanding Akta Syarikat 1965.

“Bagaimanapun, walaupun menyedari perbezaan tersebut, hakim bicara membuat dapatan bahawa definisi yang terkandung dalam Seskyen 402A adalah tidak terhad dan menyatakan terdapat beberapa situasi bagi membolehkan seseorang itu dianggap sebagai pengarah.

“Dengan hormatnya, perayu (Najib) menghujahkan bahawa hakim bicara telah tersalah arah apabila mengguna pakai definisi ‘pengarah’ yang terlalu luas,” ujar peguam itu.

Tambah Muhammad Shafee, peruntukan Kanun Keseksaan hendaklah ditafsir dengan tepat yang mana sesuau peruntukan tidak boleh diberikan tafsiran yang meluas dan tiada mana-mana kes boleh disabitkan di luar ruang lingkup interpretasi statut itu.

Peguam terbabit berkata demikian sewaktu membuat hujahan semula pada prosiding rayuan Najib di hadapan panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil yang bersidang bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.

Prosiding masih berlangsung. -UTUSAN

The post Hakim terkhilaf anggap Najib pengarah bayangan SRC International appeared first on Utusan Digital.