Gagal seludup ayam sabung, Murai Batu ke Indonesia

LANGKAWI – Cubaan tiga lelaki warga Indonesia menyeludup 71 ekor ayam sabung dan 40 ekor burung Murai Batu bernilai RM870,000 ke negara mereka dari Thailand gagal apabila bot dinaiki ditahan penguat kuasa Maritim Malaysia (APMM) di perairan Langkawi di sini semalam.

Bot fiber dipercayai datang dari Thailand itu ditahan di kedudukan 2.1 batu nautika, barat laut Pulau Anak Datai di sini kira-kira pukul 12.30 tengah malam.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd. Zawawi Abdullah berkata, bot berwarna hijau tanpa nombor pendaftaran tersebut dikesan hasil maklumat risikan serta pengesanan oleh Sistem Pengawasan Maritim Laut (SWASLA).

Katanya, sebuah bot ronda Bot Perkasa yang sedang melakukan rondaan Op Aman dan Op Benteng diatur gerak ke lokasi dan berjaya mengesan bot berkenaan yang menghala keluar dari perairan Malaysia dalam keadaan mencurigakan pada pukul 11.25 malam, kelmarin.

“Bot tersebut berjaya dipintas kira-kira sejam selepas itu dalam keadaan laut bergelora dan pemeriksaan mendapati terdapat tiga lelaki warga Indonesia berusia antara 35 hingga 42 tahun di dalam bot berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut menemui 71 ekor ayam sabung diletakkan di dalam 60 kotak, tiga buah sangkar memuatkan 40 ekor burung Murai Batu, 20 tong petrol serta 533 pokok kaktus pelbagai saiz yang dipercayai mahu diseludup ke negara jiran,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Operasi APMM di Bukit Malut di sini hari ini. – K! ONLINE

The post Gagal seludup ayam sabung, Murai Batu ke Indonesia appeared first on Kosmo Digital.