Gagal seludup 4,200 paket tepung beras

TUMPAT – Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 menggagalkan cubaan seorang lelaki untuk menyeludup sebanyak 4,200 paket tepung beras menggunakan sebuah lori di Jalan Pak Keral di sini hari ini.

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7, Superintendan Azhari Nusi berkata, lelaki berusia 52 tahun itu ditahan pada pukul 7.20 pagi semasa sedang memandu lori yang sarat membawa muatan tepung beras.

Menurutnya, pemandu itu ditahan selepas didapati lori yang dipandunya berada dalam keadaan mencurigakan ketika melalui kawasan tersebut.

“Hasil pemeriksaan lanjut telah menjumpai kotak-kotak berwarna coklat yang mengandungi tepung beras sebanyak 4,200 paket di bahagian belakang kenderaan itu.

“Siasayan awal mendapati tepung beras itu diseludup dari negara jiran melalui pangkalan haram di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Azhari, kesemua barangan rampasan dan suspek telah dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang untuk tindakan lanjut.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967. -K! ONLINE

The post Gagal seludup 4,200 paket tepung beras appeared first on Kosmo Digital.