Dua beradik dikhuatiri lemas jatuh jambatan gantung

ROMPIN – Dua beradik dikhuatiri lemas apabila terjatuh daripada jambatan gantung sebelum dihanyutkan arus Sungai Kampung Rekoh di sini, hari ini.

Ketua Balai Polis Daerah Rompin, Asisten Superintendan Mohd. Isa Bidin berkata, kejadian kira-kira pukul 11.15 pagi itu berlaku ketika mangsa, Putri Rama Dhania Azahra Masari,3, dan kakaknya Dhenis Maulida Putri,7, sedang membonceng motosikal yang ditungggang ibunya.

“Semasa kejadian ibu mangsa sedang membawa dua anaknya itu pulang dari Sekolah Kebangsaan Keratong 1 ke tempat tinggal mereka di ladang Peetih di sini.

“Apabila sampai ke tempat kejadian motosikal berkenaan hilang keseimbangan dan tumbang di atas jambatan dan pada masa sama kedua-dua mangsa terjatuh ke dalam sungai,”katanya di sini, hari ini.

Menurutnya polis yang menerima panggilan kira-kira pukul 11.20 pagi bergegas ke tempat kejadian sebelum operasi pencarian digerakkan melibatkan pelbagai agensi pada pukul 12 tengah hari.

Katanya, operasi melibatkan 30 orang daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dihentikan pada pukul 6 petang.

“Mangsa tidak ditemui hari ini dan operasi mencari dan menyelamat akan disambung keesokan hari,”katanya. – K! ONLINE

The post Dua beradik dikhuatiri lemas jatuh jambatan gantung appeared first on Kosmo Digital.