Bonus RM1,000 untuk penjawat awam kerajaan negeri

KUANTAN – Kerajaan negeri hari ini mengumumkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) berjumlah RM1,000 kepada semua penjawat awam kerajaan Pahang sempena Aidilfitri.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bantuan itu akan dinikmati kira-kira 8,000 kakitangan kerajaan negeri membabitkan peruntukan berjumlah RM8 juta.

“Penjawat awam yang layak menerima BKK ini meliputi semua gred dan pejabat Kewangan Negeri akan segera melakukan urusan susulan supaya pembayaran boleh dibuat menjelang 7 Mei ini.

“Turut layak menerima sagu hati kerajaan negeri ialah penjawat awam Persekutuan bergred JUSA C dan ke atas, yang berkhidmat di negeri ini,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Wan Rosdy berkata, keputusan ini dibuat selepas mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang dipengerusikan beliau pagi tadi.

Katanya, jumlah BKK itu juga diputuskan selepas memgambil kira kemampuan kewangan kerajaan negeri dan berharap ia dapat digunakan secara berhemah oleh penerima.

Beliau turut mencadangkan supaya semua badan berkanun negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Pahang turut memberikan sedikit sumbangan kepada kakitangan masing-masing.-K! ONLINE

The post Bonus RM1,000 untuk penjawat awam kerajaan negeri appeared first on Kosmo Digital.