Bag-2-School Gardenia bantu pelajar kurang mampu

PETALING JAYA – Gardenia Bake­ries (KL) Sdn. Bhd. (Gardenia KL) dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Persatuan Pengguna Harapan Malaysia (PPHM) ­mengagihkan sebanyak 1,157 beg sekolah buat kanak-kanak kurang berkemampuan sebagai persediaan untuk kembali ke sekolah bagi ­men­yambung penggal persekolahan 2021.

Sumbangan bernilai RM90,000 itu diagihkan bermula 7 hingga 15 April lalu kepada kanak-kanak dari 18 buah sekolah di Lembah Klang dan Johor.

Pengurus Besar Hal Ehwal Korporat dan Perhubungan Awam Gardenia KL, Hazlinah Harun berkata, adalah menjadi tanggungjawab mereka yang berkemampuan untuk mem­bantu menyediakan keperluan barangan asas persekolahan untuk mendorong kanak-kanak belajar.

“Gardenia KL berterima kasih atas sokongan rakan-rakan daripada JKM dan PPHM yang membantu menjayakan inisiatif Bag-2-School kerana ia akan memberi semangat kepada kanak-kanak untuk kembali ke sekolah agar mereka mendapat peluang yang sama untuk mencapai potensi penuh mereka,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Gardenia KL yang ditubuhkan pada tahun 1986 merupakan pengilang roti terulung di Asia Tenggara dan mengeluarkan 53 jenis produk setiap hari, terma­suk pelbagai jenis roti, ban, kek, wafel serta mi kuning.

Setiap hari, Gardenia menghantar roti segar percuma kepada­ lebih 81 pertubuhan kebajikan seperti rumah orang tua, rumah anak yatim, pusat dan sekolah untuk pelajar pendidikan khas, de­ngan lapan daripadanya telah menerima penghantaran percuma Gardenia sejak tahun 1991.

The post Bag-2-School Gardenia bantu pelajar kurang mampu appeared first on Kosmo Digital.