Air tuak jadi lubuk rezeki Mat Yasin

KOTA BHARU: Setiap kali Ramadan, air tuak Kelantan atau air nira sentiasa dicari untuk dinikmati ketika berbuka puasa, sekali gus menjadi lubuk rezeki kepada para peniaga minuman tersebut.

Malah, seorang penduduk di Kampung Jaya Setia, Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB) di sini mampu memperolehi pendapatan mencecah RM4,000 sepanjang sebulan menjual minuman itu.

Menurut Mat Yasin, 50, air tuak tersebut dihasilkan dari pokok nipah yang tumbuh semula jadi di kawasan air masin di belakang rumahnya sejak 20 tahun lalu.

“Proses menghasilkan air tuak dari pokok nipah mengambil masa lama, setandan pokok mampu mengeluarkan sehingga satu liter air sehari.

“Air tuak itu dicampur sedikit kepingan kayu cengal yang dinamakan ‘laghu’ (laru) untuk mengelak ia cepat masam selain perlu sentiasa disimpan dalam peti sejuk,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, di sini semalam.

Mat Yasin menjual air tuak pada harga RM5 sebotol untuk 500 mililiter, manakala satu liter RM10 sebotol.

Kebiasaannya, sebulan sebelum puasa Mat Yasin sudah membuat simpanan stok air tuak untuk pelanggan yang datang membeli di rumahnya.

“Alhamdulillah setiap kali bulan puasa, air tuak saya mendapat sambutan ramai pelanggan kerana rasanya yang lengkap iaitu masin, manis dan sedikit kelat.

“Tugas menghasilkan air tuak turut dibantu isteri saya, Maheran Zakaria, 50,” katanya.

Sebelum ini air tuak Mat Yasin turut dihantar ke Johor, Kuala Lumpur dan Terengganu namun disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan larangan rentas negeri, tahun ini minuman tersebut hanya dijual di Kelantan sahaja. – UTUSAN ONLINE

The post Air tuak jadi lubuk rezeki Mat Yasin appeared first on Utusan Digital.