13 buah sekolah di Negeri Sembilan diarah tutup

SEREMBAN: Sebanyak 13 buah sekolah lagi di negeri ini diarahkan tutup selama dua hari selepas disahkan mempunyai kes positif Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri, Datuk Dr. Mohamad Rafie Ab. Malek berkata, daripada jumlah tersebut, 11 buah sekolah terletak di daerah ini.

Tambah beliau, dua buah sekolah lagi pula di Port Dickson dan Tampin.

Di Seremban, sekolah-sekolah yang ditutup ialah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua, SJKC Pei Hua, Sekolah Kebangsaan (SK) Lavender Heights, SK Taman Seri Mawar, SK Senawang Tiga, SK Mantin dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Convent.

Katanya, turut ditutup Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seremban 3, Sekolah Menengah Teknik Tuanku Jaafar dan Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Labu.

Di Port Dickson, sekolah yang ditutup ialah SMK Kampung Baru Si Rusa manakala di Tampin pula ialah SK Kampung Ladang, Gemas.

“Sekolah-sekolah ini ditutup susulan terdapat kes positif Covid-19 seperti yang dilaporkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) dan dinasihatkan oleh pejabat kesihatan daerah (PKD). Sekolah ini ditutup ada 28 April sehingga 29 April 2021 bagi membolehkan PKD membuat penilaian risiko, pengesanan kontak rapat dan sekolah menjalankan proses disinfeksi,” katanya di sini hari ini.

Katanya, sebuah sekolah lagi iaitu SJKC Sino English, Seremban akan ditutup bermula 29 April sehingga 30 April.

“Penutupan sekolah boleh dilanjutkan melebihi tempoh dua hari berdasarkan saranan, nasihat dan penilaian risiko oleh PKD yang berkaitan,” katanya.

Mohamad Rafie berkata, empat buah sekolah yang telah diarah tutup sebelum ini juga dilanjutkan penutupannya sehingga 30 April iaitu SMK Seremban 2, SJKT Nilai dan SK Desa Cempaka, Nilai manakala SK Port Dickson masih ditutup.

“Secara umum, penutupan sementara yang membabitkan sekolah-sekolah ini membabitkan kes positif Covid-19 positif yang sangat minimum iaitu secara purata satu kes kecuali di SMK Seremban 2. Penutupan ini untuk membolehkan sekolah-sekolah ini melalui proses disinfeksi.

“JPNS memantau secara terperinci keseluruhan perjalanan sekolah-sekolah di negeri ini dan ibu bapa serta penjaga tidak perlu bimbang mengenai keselamatan kesihatan anak-anak mereka.

“Tetapi perlu memastikan dengan menasihatkan anak-anak mereka untuk mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) semasa berada di sekolah dan semasa berulang-alik ke sekolah,” katanya.

Situasi terbaharu ini menjadikan 17 buah sekolah ditutup sementara di Negeri Sembilan ketika ini berikutan terdapat pengesanan kes positif Covid-19.

The post 13 buah sekolah di Negeri Sembilan diarah tutup appeared first on Utusan Digital.