UMNO mahu cetus kebencian kepada PN

KUALA TERENGGANU: Desakan Majlis Tertinggi (MT) UMNO agar Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) bersidang kembali dalam tempoh darurat seolah-olah mahu mencetuskan kebencian rakyat terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN). 

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Rosol Wahid berkata, tindakan terbaharu itu merupakan antara cubaan berpolitik yang dilakukan UMNO bagi mewujudkan suasana tidak tenteram dalam masyarakat.

“Kita pelik sebab UMNO merupakan sebahagian daripada kerajaan tetapi mereka yang beriya-iya mendesak kerajaan seolah-olah tidak setuju dengan apa yang dilaksanakan.

“Jadi saya nampak mereka sebenarnya cuba berpolitik untuk mewujudkan ketidakstabilan dan mencetuskan kebencian terhadap kepemimpinan PN. Kalau UMNO mendakwa darurat menyebabkan ekonomi Malaysia merudum dan pelaburan terhakis bagi saya tidak tepat,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Berbuka Puasa Bersatu Hulu Terengganu di sini semalam.

Kelmarin, MT UMNO mengesyorkan agar Parlimen dan DUN dapat kembali bersidang selaras titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menzahirkan agar kedua-dua institusi itu boleh bersidang sepanjang tempoh darurat.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, Parlimen dan DUN adalah medan semak dan seimbang dalam kalangan wakil-wakil rakyat agar kerajaan tidak bertindak sesuka hati hingga membelakangkan kepentingan dan kebajikan rakyat.

Rosol turut menyindir UMNO agar melaksanakan persidangan DUN di negeri-negeri dikuasai mereka sekiranya merasakan kerajaan PN cuba memandulkan amalan demokrasi berparlimen di negara ini.

Dalam perkembangan sama, Rosol bimbang dengan sikap kalangan MT UMNO yang cenderung menyerang kerajaan berkaitan isu Covid-19 termasuk vaksinasi sedangkan menteri yang mengendalikan urusan berkenaan merupakan daripada parti berkenaan. – UTUSAN

The post UMNO mahu cetus kebencian kepada PN appeared first on Utusan Digital.