Tokan dadah, budak suruhan ditahan dalam khemah

HULU TERENGGANU: Seorang tokan dadah bersama dua budak suruhannya ditahan dalam serbuan di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Padang Setar di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superitenden Mohd. Adli Mat Daud berkata, kesemua lelaki berusia antara 35 tahun hingga 39 tahun itu diberkas dalam sebuah khemah yang menjadi lokasi persembunyian dan tempat tidur mereka, kira-kira pukul 4 pagi.

Katanya, siasatan mendapati ketiga-tiga suspek adalah penagih dadah tegar jenis heroin dan pil kuda.

“Suspek pertama yang berusia 35 tahun dan masih bujang adalah tokan dadah kepada penagih di sekitar Kampung Padang Setar manakala dua lagi adalah budak suruhannya.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota mengepung khemah yang menjadi lokasi persembunyian dan tempat tidur mereka pada waktu malam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd. Adli berkata, polis merampas tiga botol plastik lutsinar yang mengandungi serbuk putih disyaki heroin di samping lapan biji pil kuda yang dianggarkan bernilai RM1,880 dalam sebuah beg.

Katanya, hasil ujian air kencing terhadap suspek mendapati ketiga-tiganya positif dadah dengan suspek pertama mempunyai lima rekod lampau manakala suspek kedua (dua rekod) dan suspek ketiga (tiga rekod).

Menurutnya, kesemua suspek kini direman tujuh hari sehingga 2 Mei ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN ONLINE

The post Tokan dadah, budak suruhan ditahan dalam khemah appeared first on Utusan Digital.