TLDM garis 4 hala tuju demi kesiagaan

PETALING JAYA – Mengangkat tema ‘TLDM Siaga, Kedaulatan Terpelihara’, sambutan Hari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ke-87 pada tahun ini menggariskan empat teras hala tuju.

Hala tuju itu memberi keutamaan kepada kesiagaan dan membangunkan semula Armada TLDM berlandaskan perancangan Program Transfomasi TLDM 15 Ke- 5 yang diubah suai.

Selain itu, TLDM juga akan meningkatkan integrasi dan sokongan kepada aspek kebersamaan serta menyediakan modal insan terbaik untuk memenuhi keperluan masa hadapan.

Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Mohd. Reza Mohd. Sany berkata, perkataan ‘Siaga’ bermaksud bersiap sedia daripada segala aspek dalam menghadapi sesuatu ancaman.

Melalui tema itu katanya, TLDM memfokuskan kepada kepentingan untuk memastikan pihaknya sentiasa berada pada tahap kesiagaan tertinggi untuk melaksanakan misi bagi melindungi kedaulatan, integriti wilayah dan kepentingan maritim negara.

“Sebagai perisai utama pertahanan maritim negara, TLDM berpegang pada ungkapan We exist because of the Fleet.

“Oleh itu, fokus terhadap kesiagaan, terutamanya Armada TLDM sentiasa diutamakan demi untuk memelihara kedaulatan perairan negara yang kita cintai,” kata Mohd. Reza.

LATIHAN besenjata secara berkumpulan sentiasa dilakukan bagi meningkatkan kemahiran dan kepakaran warga TLDM.

Selaras dengan tema dan hala tuju itu juga, Mohd. Reza menjelaskan, pihaknya kini dalam proses menyediakan modal insan terbaik untuk memenuhi keperluan masa hadapan TLDM.

Jelas beliau, TLDM telah melaksanakan inisiatif menaik taraf pendidikan bagi pengambilan anggota lain-lain pangkat (LLP) khususnya dari cawangan kejuruteraan bermula pada tahun 2018.

Menurutnya, pengambilan Perajurit Muda (PtM) TLDM bagi cawangan kejuruteraan akan dipelawa kepada graduan Lepasan Diploma Kejuruteraan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang mempunyai pengiktirafan Malaysia Qualifications Agency (MQA) dan Engineering Technology Accreditation Council (ETAC).

“Inisiatif ini secara tidak langsung akan dapat menyediakan warga yang lebih berkemahiran dan berkelayakan serta mampu untuk mengoperasikan aset-aset TLDM yang canggih dan berteknologi tinggi pada masa kini serta akan datang.

“Justeru, kami mengalu-alukan rakyat Malaysia yang memenuhi kelayakan yang dinyatakan untuk memajukan permohonan untuk memasuki perkhidmatan TLDM serta bersama-sama membantu dalam menjaga dan memelihara kedaulatan perairan negara,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai pelan pembangunan TLDM untuk 10 hingga ke 15 tahun, Mohd. Reza berkata, pihaknya telah merangka beberapa pelan pembangunan khusus untuk meningkatkan keupayaan TLDM.

“Bagi tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang, kita akan membuat perolehan beberapa aset utama seperti 14 buah kapal jenis Littoral Mission Ship (LMS), tiga buah kapal Multi Role Support Ship (MRSS), 11 buah kapal New Generation Patrol Vessel (NGPV) dan dua buah kapal selam.

“Selain itu, TLDM juga merancang untuk memperolehi beberapa buah aset pelengkap atau force multiplier seperti Fast Combat Boat (FCB), Unmanned Aerial System (UAS) dan juga Anti-Submarine Warfare (ASW) Helicopter,” jelasnya.

BANTUAN dan sokongan kemanusiaan daripada TLDM membantu golongan yang berada dalam kecemasan dan kesusahan.

Menurut beliau, kesemua perancangan ini telah dibuat dengan teliti berpandukan kepada Program Transformasi TLDM 15to5, Pelan Pembangunan Keupayaan ATM (4D MAF) dan juga Kertas Putih Pertahanan (KPP).

Tambah Mohd. Reza, perancangan perolehan bagi kesemua aset ini akan disusun mengikut keutamaan bergantung kepada situasi dan cabaran semasa agar kesiagaan TLDM dapat ditingkatkan ke tahap tertinggi dalam mencapai visi TLDM iaitu menjadi sebuah angkatan laut yang kredibel.

Bagi proses penggantian aset sedia ada, beliau berkata, TLDM kini dalam perancangan untuk membuat perolehan sekurang-kurangnya dua buah Multi Role Support Ship (MRSS) dalam tempoh lima tahun akan datang.

Kata beliau, kapal jenis MRSS ini penting bukan sahaja kepada TLDM malahan di peringkat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan juga negara.

“Kapal jenis ini akan digunakan dalam operasi logistik serta sokongan bantuan kemanusiaan serta bencana alam atau lebih dikenali sebagai Humanitarian Assistance and Disaster Relief (HADR) di dalam dan luar negara dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

“Perolehan MRSS yang mempunyai keupayaan Sealift ini dirancang bermula pada tahun 2024 untuk fasa yang pertama dan TLDM amat berharap pihak kerajaan terus komited dalam menyokong usaha dan rancangan untuk memperoleh aset ini,” ujar beliau.

Mohd. Reza menerangkan, pada masa sekarang, dua buah kapal logistik sedia ada dalam Armada TLDM adalah dari jenis Multi-Purpose Command and Support Ship (MPCSS) iaitu KD Sri Indera Sakti dan KD Mahawangsa yang telah berusia melebihi 40 tahun.

KAPAL selam yang digunakan oleh TLDM di perairan negara.

Dalam pada itu, menyentuh mengenai Op Benteng, Mohd. Reza berkata, operasi tersebut mula dilancarkan pada 12 Mei 2020 dengan penubuhan National Task Force (NTF) yang bertindak sebagai penyelaras operasi.

Ia melibatkan kerjasama daripada 19 agensi penguatkuasaan dan pasukan keselamatan antaranya Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Polis Marin.

Jelas beliau, operasi ini dilaksanakan bagi menghalang kemasukan pendatang asing tanpa izin yang dikhuatiri berisiko menyebarkan wabak Covid-19.

“Beberapa langkah telah dilaksanakan TLDM untuk meningkatkan penguasaan sempadan negara dalam Op Benteng antaranya, meningkatkan bilangan kapal di laut bagi memastikan perairan negara sentiasa terkawal dari pelolosan kemasukan PATI ke negara ini,” katanya.

The post TLDM garis 4 hala tuju demi kesiagaan appeared first on Kosmo Digital.