STAR, PBS akan terus bekerjasama

KOTA KINABALU: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) akan terus bekerjasama dengan Parti Bersatu Sabah (PBS) dalam memastikan agenda pembangunan negeri berjalan lancar.

Presiden STAR, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan berkata, disebabkan kedua-dua parti berada dalam kerajaan yang sama, mereka harus bekerjasama biarpun mempunyai pandangan yang berbeza dalam politik.

“Dalam politik memang ada pandangan dan keutamaan yang berbeza, itu perkara biasa. Tetapi, kita (STAR-PBS) dalam kerajaan yang sama di peringkat Persekutuan dan negeri jadi, fokus kita sekarang adalah untuk meningkatkan kerjasama dan sinergi,” katanya selepas melancarkan Koperasi STAR Berhad, dekat sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai hubungan antara STAR dan PBS susulan perbezaan pandangan antara kedua-dua parti berkaitan kerusi Parlimen Keningau dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tambunan.

Mengenai Koperasi STAR, Timbalan Ketua Menteri Sabah ini berkata, usaha itu akan membolehkan parti itu mempunyai perniagaan sendiri.

Untuk itu, beliau menggalakkan semua ahli STAR untuk berdaftar sebagai ahli koperasi agar STAR boleh memulakan perusahaan sosial.

“Apabila ahli koperasi kita mencukupi, kita akan mempunyai dana untuk memulakan perusahaan ini kerana dalam perniagaan, kita perlukan bilangan ahli yang ramai. Kita akan mengutip dana daripada semua ahli dan lihat peluang yang boleh diceburi bagi memberi impak kepada sosio ekonomi,” katanya.

Berkemungkinan koperasi ini juga boleh dimanfaatkan bagi menjana kewangan untuk meneruskan agenda perjuangan politik STAR.

Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah ini menyasarkan 400,000 ahli STAR termasuk anggota keluarga mereka akan menjadi ahli koperasi tersebut. – UTUSAN

 

The post STAR, PBS akan terus bekerjasama appeared first on Utusan Digital.