Semakin ramai yakin dengan vaksin Covid-19

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan mengakui pelbagai aktiviti dan program kesedaran pentingnya menerima suntikan vaksin Covid-19 menjadi asas kepada usaha menangani maklumat yang disebarkan kumpulan antivaksin. 

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, ia berikutan sebanyak 85 peratus dari 14,643 responden yang belum menerima suntikan vaksin Covid-19 bersetuju untuk mendapatkan suntikan vaksin berbanding tinjauan pertama yang diadakan pada Disember tahun lalu, iaitu 67 peratus. 

Katanya, dapatan tinjauan yang terbaharu juga mendapati hanya 10 peratus responden tidak pasti untuk menerima vaksin berbanding sebelum ini 17 peratus manakala lima peratus pula tidak mahu, berbanding sebelum ini, 16 peratus. 

“Melalui tinjauan terbaharu, sebanyak 95.9 peratus responden yakin vaksin selamat diambil serta 89 peratus tidak meragui keberkesanan vaksin dan 84 peratus yakin vaksin mampu mencegah mereka dan orang sekeliling dijangkiti. 

“Kesemua tinjauan melepasi tahap yakin bahawa ia dapat membantu mereka sebelum ini yang teragak-agak mendapatkan suntikan vaksin Covid-19,” katanya pada sidang akhbar sempena sambutan Hari Imunisasi peringkat Kebangsaan tahun 2021 di pejabatnya hari ini. 

Dr. Adham berkata, keyakinan rakyat yang semakin meningkat mengenai pengambilan suntikan vaksin juga dibantu rakan-rakan strategik yang sentiasa bekerja keras menyampaikan maklumat tepat dan benar. 

Katanya, pihak KKM sendiri menggunakan kaedah pendidikan kesihatan awam bagi menjelaskan kebaikan vaksin. 

“Kita memberi tumpuan melibatkan kualiti, keselamatan dan keberkesanan vaksin Covid-19 sekali gus memberi keyakinan kepada rakyat betapa pentingnya pengambilan vaksin itu. 

“Ini membolehkan usaha yang dilakukan gerakan anti vaksin dapat diatasi yang membolehkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dapat dilaksanakan mengikut perancangan,” katanya. 

Tambahnya, pihaknya juga berharap semua pihak melaksanakan tanggungjawab sama ada sebagai ibu bapa ataupun ahli keluarga supaya memastikan anak dan keturunan masing-masing menerima Imunisasi yang lengkap. 

“Imunisasi yang diterima mengikut jadual mampu melindungi anak-anak dari penyakit berjangkit yang boleh dicegah dengan vaksin,” katanya. – UTUSAN

The post Semakin ramai yakin dengan vaksin Covid-19 appeared first on Utusan Digital.