Selangor, Kelantan, Sarawak catat lebih 400 kes positif 

PUTRAJAYA: Malaysia terus merekodkan jumlah kes positif baharu Covid-19 melebihi 2,000 kes iaitu 2,733 kes sekali gus mengatasi kes sembuh iaitu  2,019 kes. 

Sebanyak 13 kematian dan 11 kluster direkodkan manakala kes aktif terus menunjukkan peningkatan iaitu 25,414 kes berbanding semalam, 24,713 kes manakala kelmarin, 23,753 kes. 

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 294 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala 138 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Katanya, Selangor terus kekal merekodkan kes positif tertinggi iaitu 750 kes diikuti Kelantan, 484 kes; Sarawak, 432 kes; Kuala Lumpur, 377 kes; Johor, 220 kes dan Pulau Pinang, 115 kes. 

“Sabah, 82 kes; Terengganu, 61 kes; Kedah, 51 kes; Negeri Sembilan, 39 kes; Perak, 38 kes; Pahang, 35 kes; Melaka, 33 kes dan Putrajaya, 15 kes. Hanya Perlis merekodkan satu kes manakala  Labuan, sifar kes,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Dr. Noor Hisham berkata, 13 kes kematian melibatkan tiga kes di Sarawak, masing-masing dua kes di Selangor, Kelantan, Johor, dan Negeri Sembilan, manakala Kuala Lumpur, dan Pulau Pinang, masing-masing satu kes dengan sebanyak 12 kes warga tempatan dan satu warga asing. 

“Kes melibatkan 10 lelaki termasuk satu warga asing dan tiga wanita berusia 23 hingga 83 tahun melibatkan pelbagai latar belakang penyakit. Antaranya kencing manis, darah tinggi, buah pinggang kronik, Prolapsed Intervetebral Disc (PID), dislipidemia, gout, paru-paru obstruktif kronik, hati dan jantung,” katanya. 

Mengulas mengenai 11 kluster baharu, beliau berkata, ia melibatkan empat kluster pendidikan, tiga kluster tempat kerja, tiga kluster komuniti dan satu kluster kumpulan berisiko tinggi. 

Katanya, Kluster Jalan Sejati di Gombak dan Sepang, Selangor dengan 42 kes iaitu kes indeks wanita 53 tahun serta melibatkan kakitangan dan pelajar sebuah institusi pendidikan di Jalan Sejati, Batu Caves, Gombak. 

“Kluster Persiaran Setia Murni di Petaling, Kuala Selangor dan Klang dengan 14 kes iaitu kes indeks lelaki 41 tahun serta melibatkan kakitangan dan pelajar sebuah sekolah di Persiaran Setia Murni, Setia Alam, Shah Alam dan Kluster Jalan Puchong di Sepang dan Petaling dengan 21 kes iaitu kes indeks lelaki 41 tahun serta melibatkan kakitangan dan pelajar sebuah sekolah di Jalan Puchong, Petaling. 

“Kluster Changkat Minden di Timur Laut, Pulau Pinang dengan 14 kes iaitu kes indeks lelaki 45 tahun merupakan kes penyakit seperti influenza (ILI) dan melibatkan kakitangan serta pelajar sebuah pusat pendidikan di Cangkat Minden Jalan 15, Minden Heights, Timur Laut dan  Kluster Teknologi Ayer Keroh di Melaka Tengah, Jasin dan Alor Gajah, Melaka dengan 21 kes saringan bersasar di tempat kerja melibatkan pekerja sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Air Keroh, Taman Bukit Melaka, Melaka Tengah serta Kluster Jalan Kempas Muar pula di Muar, Johor dengan 67 kes saringan bersasar di tempat kerja melibatkan pekerja sebuah kilang di Jalan Kempas, Mukim Jalan Bakri, Muar,” katanya. 

Tambahnya, Kluster Jalan Padang Tembak di Kota Bharu dan Bachok, Kelantan dengan 37 kes iaitu kes indeks lelaki 29 tahun serta melibatkan pekerja kilang di Jalan Padang Tembak, Kota Bharu dan Kluster Akar Peluru di Kota Setar, Pendang dan Yan, Kedah dengan 16 kes iaitu kes indeks wanita 70 tahun dari Lorong Masjid Akar Peluru, Alor Setar.

“Kluster Bandar Baru Sentul pula di Kepong, Kuala Lumpur dengan 12 kes iaitu kes indeks wanita 63 tahun dan nama kluster merujuk lokaliti penularan kes di Bandar Baru Sentul, Kepong dan Kluster Sungai Tuah dikesan di Kanowit, Sarawak dengan 31 kes iaitu kes indeks wanita 42 tahun serta melibatkan sebuah majlis pengebumian pada 12 April di Sungai Tuah, Kanowit. 

“Satu lagi kluster ialah Kluster Jalan Bukit Emas di Seremban, Negeri Sembilan dengan 19 kes iaitu kes indeks lelaki 77 tahun serta melibatkan pekerja dan penghuni sebuah pusat jagaan warga emas di Jalan Bukit Emas 9, Taman Bukit Emas, Seremban,” katanya. – UTUSAN

The post Selangor, Kelantan, Sarawak catat lebih 400 kes positif  appeared first on Utusan Digital.