Sabah sekat kemasukan dari lima negara

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri memutuskan untuk menyekat kemasukan semua individu dari lima negara bagi mengekang penularan varian baharu (variant of concern-VOC) yang dikesan di India.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, individu dari lima negara yang disekat masuk ke Sabah adalah India, Perancis, Amerika Syarikat, Afrika dan Brazil.

Katanya, arahan itu berkuat kuasa bermula esok (28 April).

Menurut beliau, bagaimanapun pengecualian masuk ke Sabah dari negara-negara tersebut hanya dibenarkan untuk penduduk Sabah dan pasangan (suami/isteri) dan anak sahaja.

“Namun, mereka perlu mematuhi prosedur kuarantin wajib 14 hari di stesen kuarantin yang diwartakan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, kru kapal yang mempunyai sejarah perjalanan dari India dalam tempoh 14 hari tidak dibenarkan menjalankan prosedur ‘signoff’ di negeri Sabah.

“Pengecualian diberi kepada kru warga Malaysia dan mereka wajib menjalani perintah kuarantin selama 14 hari di stesen kuarantin yang diwartakan,” katanya.

The post Sabah sekat kemasukan dari lima negara appeared first on Utusan Digital.