Polis nafi anggap ugutan rogol sekadar gurauan

PETALING JAYA – Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani tidak pernah menyifatkan kes ugutan rogol terhadap seorang pelajar mungkin gurauan oleh rakan sekelasnya.

Urus Setia Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat) Bukit Aman, Superintendan Skandaguru Anandan berkata, dua buah portal berita telah membuat tajuk berita mengelirukan berhubung kes tersebut.

“Tajuk berita berkenaan amat mengelirukan kerana tidak memberi gambaran tepat kenyataan sebenar dibuat semasa sidang media pada 26 April lalu.

“Laporan yang hanya merujuk kepada sebahagian respons dan menggambarkannya sebagai intipati kenyataan tindakan tidak bertanggungjawab.

“Ia boleh menimbulkan kegusaran masyarakat, mencemar kredibiliti polis serta mewujudkan spekulasi negatif terhadap mangsa dalam kes tersebut,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Salah sebuah portal berita terbabit semalam menyiarkan berita bertajuk Timbalan IGP sifatkan ugutan rogol ‘mungkin gurauan rakan sedarjah’

Manakala sebuah lagi portal berita menyiarkan tajuk Pelajar wanita dihina diugut rogol, Acryl Sani: rakan sekelas mungkin bergurau.

Skandaguru berkata, tiada mana-mana aspek dalam kes itu dianggap gurauan kerana polis memandang serius setiap laporan diterima.

Kata beliau, pihak polis malah memberi komitmen menjalankan siasatan terperinci.

Skandaguru turut menyertakan transkrip sidang media Acryl Sani pada 26 April lalu bagi menafikan tajuk berita berkenaan.

Kata beliau, berdasarkan transkrip itu, kenyataan mungkin gurauan merupakan aspek yang sedang disiasat dan bukan bermaksud isu itu hanya gurauan. – K! ONLINE

The post Polis nafi anggap ugutan rogol sekadar gurauan appeared first on Kosmo Digital.