Polis Kelantan teliti semula kompaun RM50,000

KOTA BHARU – Polis akan meneliti semula jumlah kompaun sebanyak RM50,000 yang dikenakan terhadap seorang peniaga burger di Kampung Rambutan Rendang di sini yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan beroperasi melebihi masa yang ditetapkan malam kelmarin.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, polis akan memanggil pemilik premis yang dikenakan kompaun itu.

Katanya, ia bertujuan untuk menawarkan nilai kompaun mengikut garis panduan (Penetapan Nilai Tawaran Kompaun dan Kadar Pengurangan Kompaun) yang ditetapkan bagi kesalahan-kesalahan di bawah Akta 342 dan peraturan-peraturan di bawahnya.

“Selain peniaga burger yang kisahnya ditularkan itu, dua lagi pemilik premis kedai makan turut dikompaun sebanyak RM50,000 pada hari yang sama.

“Polis telah menerima aduan dan rungutan daripada masyarakat bahawa masih terdapat premis perniagaan yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan premis kedai makan beroperasi melebihi masa yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Shafien, susulan daripada aduan orang awam, Polis Kelantan turut mengeluarkan tujuh kompaun kepada pemilik dan pelanggan premis kedai makan di sekitar Pengkalan Chepa pada hari yang sama.

Katanya, sebanyak 127 kompaun telah dikeluarkan kepada pihak yang tidak mematuhi bermula 16 April lalu sehingga semalam.-K! ONLINE

The post Polis Kelantan teliti semula kompaun RM50,000 appeared first on Kosmo Digital.