Pokok tumbang hempap kereta, pemandu dipercayai terperangkap

GEORGETOWN: Seorang pemandu dipercayai terperangkap di dalam sebuah kereta yang remuk akibat dihempap sebatang pokok yang tumbang di Jalan Perak, Jelutong, di sini pagi ini.

Jurucakap Pasukan Bomba dan Penyelamat negeri berkata, ketika ini usaha-usaha menyelamat dan mengeluarkan mangsa di dalam kereta jenis Proton Wira itu giat dijalankan.

Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak, A’Azelan Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berlaku pada pukul 9.38 dan ke tempat kejadian.

“Terdapat sebuah kereta Proton Wira di bawah pokok yang tumbang itu dan kita percaya ada mangsa terperangkap namun jumlahnya belum dikenal pasti.

“Kerja-kerja menyelamat sedang dilakukan dan operasi menyelamat turut dibantu oleh agensi-agensi lain,” katanya di sini hari ini.

Ekoran kejadian itu juga, berlaku kesesakan di tempat kejadian berikutan jalan tersebut merupakan laluan utama penduduk ke pusat bandar. – UTUSAN ONLINE

The post Pokok tumbang hempap kereta, pemandu dipercayai terperangkap appeared first on Utusan Digital.