Perkembangan kes Geng Nicky tengah hari ini – Ayob Khan

JOHOR BAHRU – Polis Johor dijangka akan mengadakan sidang akhbar berhubung perkembangan kes siasatan Ops Pelican 3.0.

Sidang akhbar itu akan diadakan pada pukul 12.15 tengah hari, hari ini di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, sidang akhbar khas itu berkaitan dengan perkembangan siasatan ke atas Geng Nicky.

“Esok saya akan adakan sidang akhbar khas berhubung perkembangan Ops Pelican 3.0 di IPK.

“Perkembangan terbaharu kes Geng Nicky,”katanya kepada pemberita dalam ucapan Majlis Berbuka Puasa Polis Johor bersama Media Johor di Hotel Thistle di sini malam tadi.

Difahamkan, Ayob Khan akan mendedahkan tangkapan ke atas pegawai dan anggota polis yang disyaki menjadi tali barut melindungi kegiatan jenayah terancang kumpulan yang didalangi ahli perniagaan buruan, Nicky Liow Soon Hee.

Khamis lalu, Kosmo! melaporkan Polis Johor sudah mendapat kebenaran Notis Merah untuk meminta bantuan Polis Antarabangsa (Interpol) untuk mengesan kedudukan Nicky Liow dan pembantunya, Niu Zhi seorang warganegara China.

Ayob Khan dalam sidang akhbar sama turut mengesahkan penahanan seorang pegawai kanan polis berpangkat Asisten Superintendan yang disyaki bersekongkol melindungi kegiatan Geng Nicky.-K! ONLINE

The post Perkembangan kes Geng Nicky tengah hari ini – Ayob Khan appeared first on Kosmo Digital.