Penyeludup bawa daun ketum terjun ke laut elak ditahan

ALOR SETAR: Seorang lelaki bertindak terjun ke laut selepas menyedari bot fiber dinaikinya yang membawa 500 kilogram (kg) daun ketum bernilai RM90,000 dikesan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) ketika berada di perairan muara Kuala Kedah, di sini, semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, hasil maklumat risikan, bot ronda Maritim Malaysia yang melakukan rondaan Op Aman mengesan sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran dalam keadaan mencurigakan kira-kira pukul 2.55 pagi.

“Bot tersebut didapati sedang bergerak keluar dari muara Kuala Kedah sebelum seorang individu dilihat terjun ke dalam laut dan berenang melarikan diri ke kawasan paya bakau berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Katanya, pemeriksaan lanjut ke atas bot tersebut mendapati terdapat beberapa bungkusan plastik berwarna hitam dan satu ruang simpanan ikan berisi bungkusan kecil disyaki daun ketum.

“Kesemua daun ketum yang ditemukan adalah seberat kira-kira 500kg dan ia dipercayai mahu diseludup ke Thailand.

“Maklumat risikan juga melaporkan harga pasaran semasa daun ketum di Thailand mencecah sehingga RM180 sekilogram, berbanding pasaran tempatan hanya sekitar RM40 sahaja,” ujarnya.

Menurutnya, semua hasil rampasan beserta bot fiber dan enjin dianggarkan bernilai RM140,000 dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan tersebut,” katanya.

Tambahnya, sepanjang bulan ini sahaja, tiga kes rampasan daun ketum dianggarkan bernilai RM380,000 ditumpaskan. – UTUSAN ONLINE

The post Penyeludup bawa daun ketum terjun ke laut elak ditahan appeared first on Utusan Digital.