Peniaga burger perlu buat rayuan kompaun

KOTA BHARU – Kementerian Kesihatan (KKM) akan menilai semula tindakan yang bakal dikenakan terhadap peniaga burger yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) sehingga dikenakan kompaun sebanyak RM50,000 kelmarin.

Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, bagaimanapun, peniaga burger yang dikompaun selepas didapati ingkar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) itu perlu membuat rayuan di Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan.

Katanya, siasatan mendapati, lelaki itu jelas melanggar SOP dengan menjalankan perniagaan melebihi had masa yang ditetapkan iaitu pukul 10 malam.

“Berdasarkan pemeriksaan, peniaga itu telah melakukan kesalahan kedua dengan melanggar SOP. Jadi, jika dia membuat rayuan, maka kita akan serahkan kes ini kepada pihak perundangan KKM untuk tindakan selanjutnya,” katanya selepas mengadakan lawatan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan (JPN) Tunjong di sini hari ini.

Mengulas lanjut, menurut Noor Azmi, peniaga itu dikompaun sebanyak RM50,000 ekoran melakukan kesalahan berulang maka ia perlu mengikut jumlah denda dan undang-undang yang ditetapkan.

Kompaun sebanyak RM50,000 yang dikeluarkan oleh pihak polis kepada seorang peniaga burger di Jalan Panji, Kota Bharu kelmarin.

Terdahulu, tular seorang peniaga burger Wan Mohd. Faisal Wan Kadir,38 yang berkongsikan kisahnya dikompaun sebanyak RM50,000 oleh polis ketika sedang berniaga di hadapan rumah sendiri di akaun Facebook miliknya.

Perkara itu mengundang pelbagai kecaman netizen yang menyifatkan tindakan mengeluarkan kompaun tersebut sebagai zalim tanpa menggunakan budi bicara.

The post Peniaga burger perlu buat rayuan kompaun appeared first on Kosmo Digital.