Peniaga burger dikompaun RM50,000 perlu kemuka rayuan

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan membuat penilaian semula kes peniaga burger, Wan Mohd. Faisal Wan Kadir yang dikenakan kompaun RM50,000 bagi kesalahan berniaga melebihi waktu ditetapkan di Kota Bharu, baru-baru ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, perkara itu bagi mempertimbangkan sama ada akan diberikan pengurangan atau pengecualian kompaun sekiranya didapati ada asas yang munasabah.

Beliau menjelaskan, mereka yang dikompaun sentiasa diberikan peluang mendapat keadilan dan dibenarkan mengemukakan rayuan mengikut mekanisme disediakan.

“Kementerian amat prihatin dan memandang serius terhadap kes yang mendapat perhatian dan simpati ramai itu. Kes ini dilihat sebagai kes terkhusus dan perlu ditangani segera. Sehubungan itu, kementerian meminta peniaga berkenaan supaya mengemukakan permohonan rayuan terhadap kompaun itu, secepat mungkin,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut beliau, Kementerian Kesihatan menguatkuasakan undang-undang dan mengenakan kompaun bertujuan mendidik dan bukan hukuman semata-mata.

Katanya, orang ramai diminta memberikan kerjasama tinggi untuk sama-sama melindungi diri, keluarga dan masyarakat serta seterusnya membendung penularan Covid-19.

Semalam Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu mengesahkan pihaknya mengeluarkan kompaun RM50,000 kepada peniaga burger berkenaan yang membuka gerai di hadapan rumahnya di Jalan Panji, Kota Bharu kerana didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan di Kelantan ketika ini.

Polis bertindak selepas menerima aduan penduduk kampung bahawa peniaga itu sering berniaga melebihi masa dibenarkan iaitu pukul 10 malam ke atas dengan ramai pelanggan didapati duduk dan makan di situ.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, pihaknya bukan mengeluarkan kompaun sesuka hati tanpa budi bicara sebaliknya tindakan tegas demikian diambil apabila memang terdapat perbuatan yang melanggar SOP ketika dalam PKP.

Terdahulu, tular kisah peniaga burger itu sekali gus mengundang pelbagai reaksi warganet yang rata-ratanya mengecam pihak berkuasa dengan menyifatkan tindakan mengeluarkan kompaun tersebut sebagai zalim tanpa menggunakan budi bicara.

Kelantan ketika ini dalam tempoh PKP sehingga 29 April ini, susulan kes positif Covid-19.

The post Peniaga burger dikompaun RM50,000 perlu kemuka rayuan appeared first on Utusan Digital.