Pegawai polis, SPRM tali barut Nicky diberkas

JOHOR BAHRU – Polis menahan 12 pegawai penguat kuasa pelbagai pangkat menjadikan jumlah keseluruhan 13 orang kerana disyaki menjadi tali barut untuk melindungi kegiatan haram Geng Nicky yang terlibat dengan kes pengubahan wang haram dan Macam Scam.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Maidin Pitchay berkata, mereka ialah 10 pegawai polis manakala bakinya betugas di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Pegawai polis itu terdiri daripada seorang Superintendan, Deputi Superintendan (2), Asisten Superintendan (3) dan Inspektor (4) yang bertugas di Bukit Aman, Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan.

“Dua pegawai SPRM itu pula bertugas di Putrajaya,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Polis Johor membongkarkan kegiatan jenayah terancang Geng Nicky dan menahan seramai 68 individu dalam 70 serbuan selama lapan hari sejak 20 Mac lalu menerusi Ops Pelican 3.0 di sekitar Lembah Klang.

Selain tangkapan, polis merampas wang tunai RM773,145.78 dan lapan kenderaan mewah termasuk Rolls-Royce dengan nilai keseluruhan RM6.67 juta.

Dalam operasi itu, ketua kumpulan itu, Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee, 33, yang juga Pengasas Winner Dynasty Group sempat melarikan diri dengan membawa bersama bekalan lapan beg berisi wang tunai.

Polis turut mendedahkan seramai 34 pegawai dan anggota agensi penguat kuasa dipercayai bersekongkol dengan Geng Nicky termasuk membocorkan maklumat sehingga lelaki itu dapat meloloskan diri.

Geng itu dipercayai menawarkan wanita, kenderaan dan wang secara bulanan atau one-off kepada penguat kuasa bagi melindungi kegiatan haram tersebut.

Pada 9 April lalu, 14 individu termasuk empat warga China didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pertuduhan terlibat dalam kumpulan jenayah terancang Geng Nicky.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh.

The post Pegawai polis, SPRM tali barut Nicky diberkas appeared first on Kosmo Digital.