Neelofa, PU Riz, keluarga dikompuan RM60,000 

PETALING JAYA: Selebriti terkenal, Neelofa dan suaminya, Haris Ismail masing-masing dikenakan kompaun RM20,000 dan RM10,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Neelofa, 32, dikenakan kompaun yang tidak dibenarkan diskaun kerana melakukan dua kesalahan manakala Haris, 26, atau dikenali PU Riz melakukan satu kesalahan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, kesalahan itu melibatkan majlis pernikahan mereka iaitu Neelofa selaku penganjur gagal mematuhi arahan Ketua Pengarah Kesihatan mengenai pematuhan SOP penganjuran majlis sosial.

Beliau berkata, usahawan itu turut gagal memastikan wujud penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter sewaktu majlis akad nikah.

“Pasangan suami isteri itu juga didapati melanggar kebenaran untuk tujuan merentas negeri diberikan pegawai diberi kuasa mengikut subperaturan 4 (2) (d) Peraturan-Peraturan sama, memandangkan ada antara aktiviti itu berada di luar skop kebenaran diberikan polis,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Dalam pada itu, Mohamad Zainal berkata, seramai 20 ahli keluarga Neelofa turut dikenakan kompaun RM1,500 setiap seorang dengan jumlah keseluruhan RM30,000 kerana gagal memastikan wujud penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter sewaktu majlis akad nikah berlangsung.

Jelas beliau, kesemua mereka akan dikenakan kompaun pada 27 April (hari ini). 

“Jumlah keseluruhan kompaun adalah sebanyak RM60,000 dan tindakan itu mengikut Peraturan 19 Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No 4) 2021.

“Pada 26 April (semalam), kertas siasatan kes pelanggaran SOP PKPB majlis perkahwinan Neelofa dikembalikan dari Pejabat Peguam Negara dengan keputusan mengenakan kompaun,” ujar beliau. 

Tambahnya, orang ramai diingatkan supaya terus mematuhi PKPB dan kegagalan mematuhi perintah itu membolehkan tindakan diambil mengikut peruntukan undang-undang yang masih berkuat kuasa.

Sebelum ini, kertas siasatan berhubung majlis perkahwinan usahawan Neelofa dan PU Riz melanggar SOP PKPB, dihantar semula ke Pejabat Peguam Negara disertakan dengan beberapa penambahan baharu.

Majlis pernikahan Neelofa dan PU Riz menimbulkan kontroversi apabila tular gambar menunjukkan jemputan tidak tidak mematuhi SOP PKPB ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN). – UTUSAN

The post Neelofa, PU Riz, keluarga dikompuan RM60,000  appeared first on Utusan Digital.