Lima PATI tangkap ikan di zon larangan dicekup

LUMUT – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak menahan lima pendatang tanpa izin (PATI) yang bekerja dalam sebuah bot nelayan tempatan kelas C di kedudukan 6.2 batu nautika barat daya Pulau Jarak dekat sini hari ini.

Pengarah Maritim Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, Kapal Maritim (KM) Nyalau yang sedang melaksanakan Op Benteng di sekitar perairan Pulau Jarak telah mengesan sebuah bot nelayan dalam keadaan mencurigakan pada pukul 9.15 pagi.

“Pemeriksaan lanjut mendapati, bot dikendalikan oleh lima kru termasuk tekong warga Myanmar berumur dalam lingkungan 21 hingga 31 tahun.

“Empat daripada kru tiada sebarang dokumen pengenalan diri yang sah manakala seorang lagi kru memiliki permit yang telah tamat tempoh,” katanya dalam satu kenyataan di sini malam ini.

Menurut Shahrizan, tekong dan kru serta bot ditahan dan diiring masuk ke Pusat Tahanan Vesel (PTV) Kampung Bharu Sitiawan untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Jelasnya, mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan di zon yang dilarang dan menggunakan pukat tunda, serta Akta Imigresen 1959/63 kerana menggunakan kru warga asing yang tiada dokumen pengenalan diri yang sah.

Katanya, penahanan itu membuktikan bahawa Maritim Malaysia sentiasa bersiap siaga dalam menguatkuasakan undang – undang bagi membendung kegiatan jenayah di laut meskipun negara masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan pada bulan Ramadan. – K! ONLINE

The post Lima PATI tangkap ikan di zon larangan dicekup appeared first on Kosmo Digital.