Lee Kwang-Soo tinggalkan Running Man

PETALING JAYA – Selepas 11 tahun bersama program realiti popular Korea Running Man, Lee Kwang-soo akhirnya membuat keputusan untuk meninggalkan rancangan tersebut bermula 24 Mei nanti.

Memetik laporan Soompi, perkara tersebut disahkan agensi yang diwakilinya King Kong by Starship melalui satu kenyataan hari ini.

“Lee Kwang-soo akan mengundurkan diri daripada Running Man SBS dan rakaman terakhir pada 24 Mei ini.

“Sukar untuk dia membuat keputusan tersebut, namun akibat kemalangan jalan raya tahun lalu, dia masih perlu menjalani rawatan pemulihan akibat kecederaan dialami.

“Namun adakala dia berasa sukar untuk menjaga keadaan fizikal dengan baik semasa penggambaran program realiti itu,” tulis kenyataan tersebut.

Pada masa sama, Kwang-soo telah mengadakan perbincangan bersama staf produksi, kru, rakan-rakannya dan juga agensi tersebut dan membuat keputusan bahawa dia memerlukan masa untuk pulih, baik dari segi fizikal dan juga mental.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada anda (penonton) kerana telah memberi begitu banyak kasih sayang dan perhatian kepada Lee Kwang-soo di Running Man,” katanya.

Difahamkan, Kwang-soo merupakan antara individu pertama yang menerajui Running Man sejak program itu disiarkan pada tahun 2010 malah mendapat jolokan ‘Putera Asia’ dek kerana populariti dan pengaruhnya yang begitu besar di luar Negara.

Kwang-soo menjadi tarikan utama dalam Running Man selain Ji Suk-jin, Yoo Jae-suk, Kim Jong-kook, Haha dan Song Ji-hyo.

Kwang-soo turut pernah menerima Anugerah Bintang Baru Popular dan Pendatang Baru Terbaik dalam rancangan Aneka Ragam selama dua tahun berturut-turut pada 2010 dan 2011 di bawah anugerah SBS Entertaiment. – K! ONLINE

The post Lee Kwang-Soo tinggalkan Running Man appeared first on Kosmo Digital.