Finas tawar dana kepada syarikat produksi tempatan

PETALING JAYA – Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dengan kerjasama Radio Televisyen Malaysia (RTM) menawarkan Dana PELAKSANA 3.0 Kenegaraan kepada syarikat produksi tempatan bertujuan meningkatkan penghasilan karya kandungan kreatif bertemakan kenegaraan.

Finas dalam satu kenyataan berkata, tawaran dana itu juga berupaya menjana semula ekonomi industri kreatif yang terkesan akibat wabak pandemik Covid-19.

“Inisiatif dana ini ditawarkan kepada syarikat produksi tempatan untuk menerbitkan karya bagi slot khas di platform stesen televisyen bertemakan kenegaraan melibatkan kategori penerbitan drama bersiri mini (lapan episod) dan supertelemovie.

“Finas turut menawarkan Dana Program TV/OTT (Over-the-top) dengan kerjasama Media Prima kepada syarikat produksi tempatan yang melibatkan penerbitan supertelemovie,” katanya di sini hari ini.

Katanya ia bertujuan meningkatkan kandungan kreatif tempatan dan penonton di platform penyiar OTT serta memperbanyakkan pemilikan hak cipta kandungan dalam kalangan penerbit tempatan bagi penjanaan keuntungan pada masa hadapan.

“Permohonan bagi dua dana tersebut telah dibuka semalam hingga 25 Mei 2021 melalui pautan https://www.finas.gov.my/prisma/dana-pelaksana-3.html dan https://www.finas.gov.my/prisma/dana-program-TVOTT.html,” katanya. – K! ONLINE

The post Finas tawar dana kepada syarikat produksi tempatan appeared first on Kosmo Digital.