Dunia `selamatkan’ India

WILMINGTON: Negara-negara antarabangsa mula menghantar bekalan bantuan oksigen ke India susulan negara itu berdepan krisis bekalan oksigen di kebanyakan hospital. 

Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK), Perancis, Jerman, Kanada dan Arab Saudi antara negara yang akan menghulurkan bantuan itu termasuk bekalan vaksin. 

Suruhanjaya Eropah turut menyatakan komitmen menghantar bekalan oksigen dan perubatan selepas menerima permintaan dari Delhi. 

Presiden AS, Joe Biden berkata, Washington akan menghantar bantuan bahan mentah bagi penghasilan vaksin Covid-19, kelengkapan perubatan serta alat pelindung diri bagi membantu India berdepan jangkitan Covid-19 tertinggi di dunia. 

“Kita akan membantu India dalam keadaan yang sangat memerlukan ini seperti mana negara itu pernah menghantar bantuan kepada kita ketika hospital mengalami tekanan di permulaan pandemik,” katanya menerusi ciapan Twitter. 

Negara yang mempunyai kepadatan penduduk seramai 1.3 bilion orang itu menjadi lokasi panas pandemik yang sudah meragut lebih tiga juta nyawa. 

India merekodkan kes jangkitan tertinggi di dunia buat empat hari berturut-turut ketika gelombang ketiga wabak tersebut melumpuhkan negara itu.  

 

ARAB SAUDI 

Dalam perkembangan sama, Arab Saudi turut menghantar 80 metrik tan oksigen ke India bagi menangani masalah kekurangan tersebut. 

Arab Saudi bekerjasama dengan konglomerat India, Adani Group dan syarikat multinasional British, Linde untuk membekalkan oksigen. 

Kedutaan India di Riyadh menzahirkan kegembiraan kerana dapat bekerjasama dengan kedua-dua syarikat itu serta berterima kasih kepada Kementerian Kesihatan negara itu. 

Pengerusi Adani Group, Gautam Adani menerusi ciapan Twitter berkata, penghantaran pertama empat tangki ISO kriogenik cecair oksigen dalam perjalanan dari pelabuhan Dammam ke pelabuhan Mundra di Gujarat. 

Jumaat lalu, India melancarkan operasi ‘oksigen maitri’ atau ‘oksigen persahabatan’ untuk dihantar ke merata tempat bagi membekalkan gas yang mampu menyelamatkan nyawa manusia. 

Tentera Udara India pula membawa empat tangki kriogenik untuk digunakan bagi menghantar oksigen dari Singapura. 

Arab Saudi merupakan rakan kerjasama strategik India dan meningkatkan bantuan ketika negara itu berdepan lonjakan kes yang tidak terjangka sehingga melumpuhkan infrastruktur perubatan. 

 

JERMAN 

Sementara itu, Jurucakap Menteri Pertahanan Jerman meminta tenteranya membekalkan kemudahan fasiliti penghasilan oksigen yang mudah bergerak termasuk bantuan kecemasan dan barangan lain ke India.   

Jerman mengklasifikasikan India sebagai negara jangkitan tinggi Covid-19 dan meletakkannya ke dalam senarai bagi penyebaran varian baharu. 

Canselor Jerman, Angela Markel menzahirkan simpati terhadap derita yang dialami penduduk India disebabkan pandemik yang melanda. 

“Jerman menyatakan solidariti terhadap India dan sedang mempersiapkan misi bantuan,” katanya. -REUTERS/Agensi 

The post Dunia `selamatkan’ India appeared first on Utusan Digital.