Anggota ATM wajib bersara selepas berkhidmat 21 tahun

KUALA LUMPUR: Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan diwajibkan bersara selepas 21 tahun perkhidmatan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, cadangan tersebut akan melibatkan pindaan Akta Angkatan Tentera 1972 membabitkan peraturan pencen dan ganjaran.

Katanya, pada masa ini semua anggota tentera mempunyai pilihan berhenti sukarela pada 12,15 dan 18 tahun perkhidmatan tanpa menerima pencen.

“Apabila mereka tamat perkhidmatan sebelum 21 tahun mereka tidak berpencen dan perlu mulakan penghidupan baharu. Ada menjalankan perniagaan namun apa yang kita kuatirkan adalah jika perniagaan mereka tidak menjadi.

“Jadi dengan cadangan pindaan ini, ia untuk menjamin anggota tentera yang berkhidmat menerima pencen apabila tamat berkhidmat,” katanya ketika menghadiri Majlis Perjumpaan, Berbuka Puasa dan Ramah Mesra bersama Persatuan-Persatuan Veteren Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Wisma Perwira hari ini.

Seramai 175 wakil dari 73 persatuan veteran ATM di seluruh negara mengadakan perjumpaan dan dialog berhubung isu semasa veteran ATM.

Dalam pada itu, Ismail berkata, setakat ini sebanyak RM8.745 juta berjaya dikutip menerusi tabung pahlawan.

“Baki RM4 juta masih belum diterima. Ini adalah dari syarikat korporat yang akan menyalurkan sumbangan, jumlah keseluruhan yang berjaya dikutip ialah RM12.745 juta,” katanya. – UTUSAN

The post Anggota ATM wajib bersara selepas berkhidmat 21 tahun appeared first on Utusan Digital.