Agong sampaikan sumbangan kepada lebih 150 asnaf

KUANTAN: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan sumbangan kepada 156 asnaf dan golongan berpendapatan rendah dalam Program Santuni Kasih dan Kurniaan Daerah Kuantan, hari ini.

Majlis penyampaian diadakan di tiga masjid di tiga buah kampung iaitu Kampung Pantai Sepat, Kampung Kuala Penor dan Kampung Cherok Paloh.

Ketika menyampaikan sumbangan, Seri Paduka sempat berseloroh dengan mengucapkan ‘bila makan ingat saya” kepada penerima di Kampung Pantai Sepat.

Turut mengiringi Seri Paduka ialah Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Al-Sultan Abdullah turut bercemar duli berkenan singgah di gerai-gerai menjual juadah untuk berbuka puasa di Kampung Ubai dalam perjalanan pulang.

Juadah yang menjadi perhatian Seri Paduka ialah nasi dagang ubai yang tersohor di Pekan dan Kuantan.

Antara juadah lain dan jenis kuih-muih menjadi perhatian Al-Sultan Abdullah adalah ayam bakar tempayan serta buah tembikai Kampung Ubai. – UTUSAN ONLINE

The post Agong sampaikan sumbangan kepada lebih 150 asnaf appeared first on Utusan Digital.