52 individu terima sumbangan dari Agong

PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini meneruskan pengurniaan sumbangan di Program Santuni Kasih dan Kurniaan di Masjid Kampung Cherok Paloh, Kuantan, Pahang.

Turut berangkat ke program itu ialah Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah; Tengku Arif Bendahara, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah dan Tengku Panglima Muda, Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah.

Istana Negara di laman Facebook berkata, pada program tersebut, Seri Paduka Baginda berkenan meluangkan masa menyantuni dan mengurniakan sumbangan kepada 52 orang asnaf, warga emas serta orang kelainan upaya (OKU).

“Semoga sumbangan ini dapat meringankan beban yang ditanggung mereka terutamanya semasa bulan Ramadan dan membantu persiapan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang tiba.

“Keberangkatan Seri Paduka Baginda ini mencerminkan keperibadian dan keprihatinan tinggi Baginda dan Pemangku Raja Pahang terhadap golongan yang memerlukan bantuan. Daulat Tuanku,” katanya. – K! ONLINE

The post 52 individu terima sumbangan dari Agong appeared first on Kosmo Digital.