5,000 bonsai ditahan bawa serangga perosak

KLANG – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Selangor berjaya merampas 5,000 pokok bonsai dari Taiwan yang mengandungi serangga perosak di Pelabuhan Klang, kelmarin.

Pengesanan serangga perosak itu hasil rutin pemeriksaan Maqis kira-kira pukul 3.30 petang terhadap dua kontena yang mengandungi pokok tanaman hiasan itu dengan nama saintifiknya Podocarpus macrophyllus.

Pengarahnya, Zamri Hashim berkata, siasatan awal mendapati dua kontena tersebut tiba di pelabuhan itu pada 18 April lalu untuk pasaran nurseri tempatan.

Katanya, berat keseluruhan 5,000 pokok bonsai itu dianggarkan 6,690 kilogram dianggarkan RM18,350.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 kerana mengimport produk pertanian yang dipercayai mempunyai perosak, penyakit atau bahan cemar.

“Kesalahan berkenaan memperuntukkan denda maksimum RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Justeru, beliau menasihati semua pengimport dan pengeksport sentiasa mengikut peraturan yang ditetapkan supaya kawalan penyakit tumbuhan, ikan, haiwan serta jaminan keselamatan makanan terpelihara di negara ini. -K!ONLINE

The post 5,000 bonsai ditahan bawa serangga perosak appeared first on Kosmo Digital.