Zayne beri nafas baharu qasidah Ya Rahman

PETALING JAYA : Kumpulan nasyid Zayne yang dianggotai empat anak muda memberi nafas baharu terhadap qasidah Rahman Ya Rahman sempena bulan Ramadan.

Qasidah itu turut menampilkan bekas johan qariah antarabangsa 2019, Nor Farhatul Fairuzah Panut sebagai cubaan pertama kumpulan itu menampilkan artis wanita sebagai rakan duet.

Komposer asal lagu itu ialah Qari terkenal Kuwait, Sheikh Mishary Rashid Alafasy dan diterjemahkan lirik ke dalam bahasa Melayu oleh Frizdan Fizarahman.

Menerusi ruangan komen YouTube, kumpulan itu berharap mereka yang mendengar lagu itu mendapat manfaat dan terus mencintai Al-Quran.

Lirik-lirik yang dialih bahasa itu turut mendapat reaksi positif daripada pendengar.

“Doa yang sangat indah untuk kita sentiasa mendekati Al-Quran dan terus mempelajarinya serta sentiasa di hati kita semua. Teruskan membaca dan memahami isi kandungan al-Quran,” tulisnya.

Kumpulan yang ditubuhkan sejak 2019 itu dianggotai oleh Furqan Fawwaz, Naufal Azrin, Mateen Yaaqub dan Abdul Basit.

Zayne merupakan artis rakaman yang diperkenalkan oleh kumpulan Inteam sebagai anak didik dan pelapis mereka di bawah label Inteam Records.

Kumpulan itu turut dikenali menerusi beberapa single seperti Ya Badratim dan Rindu.

The post Zayne beri nafas baharu qasidah Ya Rahman appeared first on Utusan Digital.