Quartararo belum terfikir gelaran

LONDON – Pelumba Perancis, Fabio Quartararo enggan memikirkan soal gelaran dunia sebaliknya persaingan masih terbuka ketika ini meskipun sudah meraih dua kemenangan berturut-turut di Grand Prix (GP) Doha dan Portugal.

Quartararo yang menyertai pasukan Monster Energy Yamaha musim ini tampil dengan aksi terbaiknya selepas berjaya mengatasi Johann Zarco dan Jorge Martin di Losail.

Di Portimao pula, pelumba berusia 22 tahun itu mengatasi dua pasukan berbeza iaitu Francesco Bagnaia (Ducati) dan Joan Mir (Suzuki).

Jika melihat kepada carta kedudukan pelumba ketika ini Bagnaia dianggap ancaman kepada Quartararo selepas mereka hanya dipisahkan 15 mata.

“Bagnaia ketika ini sangat kuat dan Zarco juga mempamerkan tunggangan yang cukup baik sejak tiga perlumbaan lalu. Zarco menampilkan perlumbaan yang konsisten walaupun dia gagal menamatkan perlumbaan minggu lalu.

“Apa pun, saingan masih terbuka dan yang pasti terdapat tujuh pelumba yang mampu memberi tentangan hebat untuk merebut gelaran juara musim ini,” katanya.

Dalam pada itu, Quartararo menganggap hasil kerja keras pasukannya kini mendatangkan hasil ketika membangunkan jentera YZR-M1.

“Saya berasa luar biasa dan tidak pernah beraksi sebaik ini. Catatan juga menunjukkan kami semakin pantas. Saya harap kami mengekalkan pres­tasi seperti ini di semua litar,” ujarnya. – AGENSI

The post Quartararo belum terfikir gelaran appeared first on Kosmo Digital.