PKPD di tapak pembinaan empangan di Sarawak

PUTRAJAYA: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bakal dikenakan di kawasan pembinaan Empangan Hidroelektrik Baleh, Bahagian Kapit, Sarawak mulai esok sehingga 26 Mei ini kerana risiko kebolehjangkitan tinggi.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, setakat ini, sebanyak 243 kes positif Covid-19 dan trend terus naik dalam tempoh seminggu hasil saringan ke atas pekerja empangan.

Beliau berkata, PKPD di Sungai Duan, Jalan Bukut, Balingian Mukah, Sarawak diperluaskan lagi meliputi tujuh lokaliti baharu termasuk Sekolah Kebangsaan Sungai Duan, Rumah Panjang Belayong, Rumah Panjang Tepi, Rumah Panjang Minggu, Rumah Panjang Rimong, Rumah Panjang Undun dan Rumah Panjang Lindan.

“Ia susulan terdapat 17 kes positif baharu direkodkan di rumah panjang berkenaan yang terletak berhampiran kawasan PKPD di Sungai Duan dalam tempoh seminggu lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau juga mengumumkan sejumlah 11 lokaliti yang berbeza di seluruh negara akan ditamatkan PKPD esok, antaranya ialah Taman Villa Mas, Tawau; Kampung Melangkap Tomis, Kota Belud; serta Pasar dan Perumahan Sim-Sim selain Kampung Sungai Obar, Batu 7, Sandakan, Sabah.

Katanya, ini termasuk  Kampung Paya Pulai Tengah, Kampung Pulau Terap serta Kampung Batu 4 dan Kampung Batu 5, Paya Pulau di Temerloh Pahang juga ditamatkan PKPD pada 27 April.

Tidak ketinggalan kata Ismail Sabri, ialah PKPD di Pusat Komuniti Bersepadu Pulau Serai, Pekan, Pahang yang turut ditamatkan esok daripada jadual asalnya iaitu pada 29 April ini. – UTUSAN

The post PKPD di tapak pembinaan empangan di Sarawak appeared first on Utusan Digital.