PGA rampas 4,800 botol jamu tiada kelulusan KKM

RANTAU PANJANG – Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 merampas sebanyak 4,800 botol pelbagai jenis jamu yang tiada kelulusan Kementerian Kesihatan (KKM) di sebuah rumah kedai di Bandar Baru Tasek Raja di sini semalam.

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7, Superintendan Azhari Nusi berkata, rampasan bernilai RM432,000 itu dijalankan oleh anggota PGA selepas menyerbu premis berkenaan pada pukul 1 petang.

Katanya, hasil semakan barangan itu dengan pihak KKM mendapati ia tidak mendapat kelulusan agensi berkenaan.

“Dalam serbuan itu, seorang lelaki yang bekerja sebagai pembantu dan menjaga premis itu turut ditahan bagi membantu siasatan.

“Barangan kosmetik itu disimpan di premis berkenaan sebagai transit sebelum ia dihantar dan dijual di Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Azhari, pihaknya bimbang jika produk tersebut terlepas ke pasaran dan berkemungkinan mendatangkan mudarat kepada kesihatan pengguna kerana tiada kelulusan KKM.

Katanya, kesemua barangan kostemetik itu telah dirampas untuk tindakan lanjut.-K!ONLINE

The post PGA rampas 4,800 botol jamu tiada kelulusan KKM appeared first on Kosmo Digital.