Perbelanjaan hasil sukuk perlu telus

PETALING JAYA: Kerajaan perlu memastikan perbelanjaan hasil penerbitan Sukuk Kelestarian bernilai AS$1.3 bilion (RM5.34 bilion) dilaporkan secara telus.

Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, disebabkan proklamasi darurat, ketelusan perbelanjaan kerajaan berada pada tahap yang mengecewakan.

Ia sekali gus menimbulkan kerisauan tentang perbelanjaan Sukuk Kelestarian tersebut yang dilihat mampu menampung banyak perbelanjaan kerajaan, terutamanya yang bertahap mega.

“Sukuk ini diberikan nama yang agak komersial, Sukuk Kelestarian yang seolah-olah menggambarkan hasrat kerajaan untuk menggunakan hasilnya untuk membiayai program sosioekonomi dan program pembangunan hijau serta lestari.

“Hakikatnya, ia merupakan satu lagi instrumen hutang kerajaan untuk menampung program pemulihan dan pemerkasaan ekonomi negara,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Menurut Baharom, peningkatan saiz terbitan asalnya daripada AS$1 bilion (RM4.11 bilion) kepada AS$1.3 bilion agak merisaukan, namun yang lebih penting adalah ketelusan perbelanjaan hasilnya.

“Perbelanjaan hasil sukuk ini harus dilaporkan. Ke mana ia dihalakan, untuk program apa dan sebagainya.

“Kita tidak mahu ia digunakan untuk program menaikkan populariti dan meraih undi menjelang pilihan raya,” katanya.

Minggu lalu, kerajaan menerbitkan Sukuk Kelestarian berdaulat yang pertama di dunia dalam dolar Amerika Syarikat (AS) menerusi terbitan bertempoh matang 10 tahun dengan jumlah AS$800 juta (RM3.3 bilion).

Pada masa sama, kerajaan juga menerbitkan sukuk bertempoh matang 30 tahun berjumlah AS$500 juta (RM2.06 bilion).

Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan akhbar hari ini berkata, keyakinan pelabur jelas dicerminkan melalui lebihan langganan sebanyak 6.4 kali bagi sukuk berkenaan.

Mengulas lanjut, Baharom melihat kerajaan terpaksa menerbitkan sukuk tersebut dalam denominasi dolar AS bagi memastikan ia mendapat sambutan yang sewajarnya.

“Sukuk ini diterbitkan di luar negara, ia ‘terpaksa’ diterbitkan dalam denominasi dolar demu menarik perhatian (pelabur) dan meraih pulangan.

“Jika diterbitkan dalam ringgit, mungkin ia dipandang sepi oleh pelanggan antarabangsa dan sudah tentu ada risiko yang perlu ditanggung generasi akan datang,” katanya. – UTUSAN ONLINE

The post Perbelanjaan hasil sukuk perlu telus appeared first on Utusan Digital.