Pelajar IPT didakwa hina TMJ

JOHOR BAHRU – Seorang penuntut sebuah universiti awam mengaku tidak bersalah di Mahkmah Sesyen Johor Bahru, di sini hari ini atas tuduhan menghina Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerusi laman sosial Facebook, Februari lalu.

Tertuduh, Ahmad Muazz Ishak, 22, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang merupakan penuntut Tahun Dua di sebuah universiti awam di ibu negara didakwa telah memuat naik satu status di akaun Facebook yang tertera perkataan menghina kerabat Diraja Johor itu.

Perbuatan itu didakwa di sebuah restoran makanan segera di Jalan Pontian-Skudai, Johor Bahru pada pukul 11.45 pagi pada 5 Februari lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah seksyen 233(3) Akta yang sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum denda maksimum RM50,000 atau dipenjara maksimum setahun atau kedua-duanya, dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Hakim membenarkan penuntut berkenaan diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin selain perlu melaporkan diri dua minggu sekali di Balai Polis Pantai, Kuala Lumpur.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Qayyum Ramlan manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Valantino Ifni Ho Ridzuan.

Mahkamah menetapkan 23 Mei depan untuk sebutan semula kes.-K! ONLINE

The post Pelajar IPT didakwa hina TMJ appeared first on Kosmo Digital.