MUI seru solat jenazah ghaib

JAKARTA: Majlis Ulama Indonesia (MUI) menyeru orang ramai supaya melaksanakan solat jenazah ghaib bagi kesemua anak kapal KRI Naggala-402 yang terkorban selepas kapal selam itu tenggelam di perairan Bali, sejak Rabu lalu. 

Timbalan Pengerusi MUI, Anwar Abbas berkata, ibadah yang boleh dilakukan secara bersama atau bersendirian itu bertujuan mendoakan dan memohon keampunan daripada Allah SWT untuk semua mangsa yang terkorban.

“Mari kita secara bersama atau bersendirian melakukan solat jenazah ghaib, supaya semua dosa mereka diampuni serta pengorbanan yang mereka berikan kepada bangsa dan negara menjadi ibadah sekali gus mendapat ganjaran pahala yang besar dari Allah SWT,” katanya seperti dipetik Tribunnews. 

Menurut Anwar, pelaksanaan solat itu berdasarkan hadis yang menyebut seseorang yang meninggal dunia kerana tenggelam atau lemas dikira sebagai mati syahid. 

“Sudah disahkan mereka meninggal dunia dalam keadaan seperti ini, sudah jelas mereka pergi menghadap pencipta dalam keadaan terhormat,” jelasnya. 

Tentera Nasional Indonesia (TNI) semalam mengesahkan kesemua anak kapal KRI Nanggala-402 terkorban, selain beberapa bahagian badan kapal selam itu juga dikenal pasti pada kedalaman 838 meter.

 

 

The post MUI seru solat jenazah ghaib appeared first on Utusan Digital.